PASIR PUTEH, 20 Februari:

Pemodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menyediakan pinjaman modal sehingga RM100,000 kepada golongan belia yang ingin menjadi usahawan menjalankan perniagaan secara digital.

Pengerusi PUNB Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata belia terbabit mesti berumur 30 tahun ke bawah dan mendapat latihan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Mereka hanya dikenakan kadar faedah (pinjaman) sebanyak enam peratus manakala tempoh bayaran balik pinjaman selama tujuh tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Tranformasi Usahawan Digital di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa di sini, hari ini.

Semasa ditanya jumlah peruntukan bagi pinjaman tersebut, Mohd Ali berkata PUNB bersedia menimbangkan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada RM175 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada PUNB pada tahun ini.

Beliau berharap pada tahun ini, setiap negeri dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10 usahawan digital terutama dalam kalangan bumiputera.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Komuniti Belia MDeC Sumitra Nair berkata pihaknya bercadang melahirkan lebih ramai usahawan digital menerusi kursus yang akan diadakan menerusi Pusat Internet 1Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata pada tahun lepas, hampir 3,000 belia sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar vokasional dan teknikal diberi latihan sebagai usahawan mikro.

“Parlimen Jeli (Kelantan) telah dipilih sebagai projek printis di mana 260 orang belia telah berjaya bergelar usahawan digital baharu,” katanya.