SUBANG JAYA, 9 Februari:

Sebuah pertubuhan penyelidikan kanser di Malaysia telah tampil dengan ujian genetik untuk menilai risiko seseorang itu berkemungkinan menghidap kanser payudara, malah juga kanser ovari.

Sejak ia diperkenalkan oleh Cancer Research Malaysia pada Oktober tahun lepas, kira-kira 1,000 wanita telah melakukan ujian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Dr Teo Soo-Hwang berkata ujian genetik akan “pasti dapat meningkatkan kadar survival kanser payudara di kalangan wanita Malaysia”.

“Kanser payudara adalah jenis kanser yang paling biasa dihidapi di Malaysia, iaitu kira-kira satu bagi setiap lima kes kanser keseluruhannya dan satu dalam tiga kes kanser di kalangan wanita,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut Teo, purata 5,000 wanita berusia antara 30 dan 60 tahun, disahkan menghidap kanser payudara di Malaysia setiap tahun.

Cancer Research Malaysia adalah sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, yang dibiayai oleh Yayasan Sime Darby, dan ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menjalankan penyelidikan serta membangunkan kaedah bagi melawan kanser dalam semua aspek.

Selain memberi tumpuan kepada faktor-faktor risiko genetik dan persekitaran di kalangan orang Asia, kumpulan yang terdiri daripada 40 penyelidik ini turut memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah mengurangkan kesan kanser lazim seperti kanser payudara dan menjalankan penyelidikan mengenai kanser yang biasa berlaku di kalangan masyarakat Asia, selain kajian bagi kanser mulut dan nasofarinks.

Teo berkata Cancer Research Malaysia adalah antara organisasi yang pertama di negara ini dalam membangunkan program-program kaunseling dan ujian genetik bagi membantu golongan berisiko tinggi menghidap kanser payudara dan kanser ovari.

Kos untuk seseorang menjalani ujian genetik adalah antara RM500 dan RM1,000.

Beliau berkata bahawa kajian genetik kanser payudara yang dijalankan oleh Cancer Research Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia.

“Kami boleh mengenal pasti lebih daripada 100 lokus genetik baharu bagi memahami mengapa sesetengah wanita lebih cenderung untuk menghidap kanser payudara.

“Keputusan yang diperoleh membolehkan kami membantu wanita berkenaan mengetahui risiko yang dihadapinya dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan berlaku kanser itu,” jelas beliau.

Sementara itu, seorang kaunselor genetik Cancer Research Malaysia Yoon Sook Yee berkata apa yang dibangunkan adalah “kaedah yang lebih cepat dan lebih murah” untuk mengenal pasti dengan tepat individu-individu yang terdedah secara genetik kepada kanser payudara, serta kanser mulut.

“Penubuhan perusahaan sosial kami mengambil kira dan memastikan bahawa kos tidak akan menjadi penghalang untuk memperoleh maklumat bagi menyelamatkan nyawa,” kata Yoon.

Selain beliau, terdapat seorang lagi kaunselor genetik berkelayakan di Malaysia.

Yoon berkata mereka yang menjalani ujian genetik akan diperiksa profil genetiknya, yang mana mereka kemudiannya akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan berisiko yang sesuai.

“Orang ramai yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi adalah tertakluk kepada pengurusan risiko khusus untuk mereka manakala mereka dalam kategori berisiko rendah pula perlu melalui pengurusan risiko yang sesuai,” katanya dan menambah kata bahawa dengan adanya ujian genetik, orang ramai tidak perlu lagi menjalani ujian saringan kanser.

“Sebaik sahaja seseorang itu diletakkan ke dalam kategori yang betul (melalui ujian genetik), kita tidak perlu mengadakan ujian saringan kanser ke atas setiap orang, dan pada masa sama, tidak akan terlepas pandang golongan yang berisiko tinggi,” kata beliau.

Ujian genetik boleh dijalankan dengan mana-mana sel yang diambil daripada badan dan biasanya sampel darah, air liur atau rambut digunakan untuk tujuan
tersebut.

Yoon berkata ketika menjalankan ujian genetik untuk menilai risiko kanser payudara wanita, penyelidik akan menganalisis peranan gen kanser payudara, seperti Gen-gen Kanser Payudara 1 dan 2 (BRCA1 dan BRCA2).

“Kita boleh meramalkan risiko dengan tepat supaya dapat menyasarkan langkah langkah pencegahan dan saringan bagi membantu mengurangkan beban kanser payudara pada generasi masa depan wanita Malaysia,” katanya.