KUALA LUMPUR, 1 Februari:

Sebut sahaja Tahun Tikus, Lembu, Harimau, Arnab ataupun Naga, pastinya akan dikaitkan dengan 12 zodiak Cina yang masing-masing melambangkan sifat dan personaliti berbeza mengikut kitaran tahun.

Menjelang sambutan Tahun Monyet Api, Isnin depan (8 Februari ini), pakar Feng Syui meramalkan mereka yang dilahirkan pada tahun Kambing merupakan zodiak yang paling bertuah.

Perunding dan pengasas Xuan Jixuan Feng Syui Consultation Centre Jane Hor berkata bagi mereka yang lahir pada zodiak Kambing, tahun Monyet merupakan tahun yang sesuai untuk menonjolkan bakat dan kelebihan mereka, dari segi kerjaya, kewangan atau pelajaran.

“Dalam susunan 12 haiwan zodiak Cina, kambing merupakan haiwan zodiak Cina sebelum monyet dan dilihat merupakan yang paling hampir dengan monyet.

“Peluang yang ada jangan disia-siakan terutamanya dalam kerjaya ataupun pelaburan kerana besar kemungkinan mereka diberi kenaikan pangkat dan gaji ataupun mencapai keuntungan dalam perniagaan mereka pada tahun Monyet Api 2016,” katanya.

Begitu juga bagi mereka yang lahir pada tahun Tikus, Lembu dan Khinzir, tahun Monyet Api dilihat merupakan tahun lancar bagi mereka yang menjalankan perniagaan ataupun ingin membuat pelaburan, katanya.

“Pada tahun ini, mereka mudah mendapat pertolongan daripada rakan-rakan sekeliling yang akan melancarkan perancangan mereka.

“Namun, mereka dinasihat untuk berhati-hati dalam pertuturan kata kerana kemungkinan sikap mereka yang suka berterus-terang itu akan menyinggungkan perasaan orang serta mungkin akan dipinggirkan rakan sekerja,” katanya.

Hor berkata bagi yang lahir pada tahun Harimau, Naga, Monyet dan Anjing, tahun Monyet, prospek mereka agak hambar kerana tiada perubahan ketara sebagaimana zodiak lain.

“Bagi mereka yang berkerjaya, mereka terpaksa berusaha lebih keras pada tahun Monyet ini.

“Namun, mereka dinasihatkan supaya lebih melakukan kerja amal dan berbuat baik kepada golongan yang memerlukan kerana pahala yang dikumpul itu dapat melancarkan kehidupan pada tahun Monyet Api,” katanya.

Hor berkata tahun Ayam dan Arnab pula dilihat mudah mendapat pertolongan daripada rakan-rakan atau pun mungkin orang yang tidak dikenali dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Namun, bagi tahun Ayam, mereka mungkin menghadapi sedikit cabaran dalam kerjaya, terutamanya bagi mereka yang menceburi bidang hartanah dan insurans, namun cabaran itu dilihat bersifat sementara.

Hor berkata bagi yang lahir pada tahun Ayam, mereka diminta agar berhati-hati dalam perbelanjaan harian terutamanya pada awal tahun kerana sekirannya mereka boros, mereka akan mudah menghadapi masalah kewangan sepanjang tahun.

Katanya bagi mereka yang lahir pada tahun Ular, diramalkan mereka akan dapat menambah lebih ramai kenalan baharu.

“Bagi mereka yang masih solo, berkemungkinan mereka akan menemui jodoh atau pun berkahwin pada tahun Monyet Api.

“Seperti mana mereka yang lahir pada tahun Tikus, Lembu dan Khinzir, orang yang lahir pada tahun Ular dinasihatkan untuk berhati-hati dalam pertuturan kata kerana mereka mungkin akan menyinggung perasaan orang di sekeliling,” katanya.

Hor berkata seseorang yang lahir pada tahun zodiak yang berbeza akan mengalami perubahan besar dari segi pengalaman hidup dan emosi disebabkan pengaruh kosmik.

“Ia bergantung kepada kedudukan matahari, bulan dan bintang pada setiap kitaran 12 tahun dan orang yang lahir pada masa itu akan merasai perubahan tersebut.

“Oleh itu, kebiasaannya masyarakat Cina yang percaya akan Feng Syui akan merujuk kepada pakar untuk panduan melancarkan kehidupan mereka pada tahun-tahun tertentu mengikut zodiak masing-masing, contohnya melakukan upacara sembahyang, memakai pakaian berwarna tertentu pada hari-hari tertentu  ataupun mengubah suai kedudukan perabot di rumah,” katanya.