TANGKAK, 31 Januari:

Kurang kesedaran dan sikap ambil mudah menangguh permohonan pembahagian harta pusaka menjadi satu daripada faktor penyebab kira-kira RM60 bilion jumlah harta tidak dituntut oleh waris si mati sejak Malaysia mencapai kemerdekaan hingga hari ini.

Bernama melaporkan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri berkata angka tersebut diperoleh menerusi rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah kementeriannya.

“Sikap tidak mahu ambil tahu prosedur yang perlu dilalui atau agensi mana yang sepatutnya menguruskan urusan pembahagian harta pusaka juga menjadi faktor penangguhan dalam kalangan waris untuk memulakan tindakan membuat permohonan.

“Ada juga waris yang anggap proses untuk memohon pembahagian harta ini lambat, mahal dan menyusahkan sehingga menyebabkan harta si mati dibekukan, tanah menjadi terbiar dan tidak terurus dan paling mustahak status pemilikan tidak rasmi boleh mengakibatkan isu termakan harta yang bukan hak atau harta anak yatim,” katanya.

Hamim berkata demikian ketika merasmikan Forum dan Taklimat Berhubung Pengurusan Harta Pusaka Kecil, di sini hari ini.

Beliau berkata selain JKPTG, agensi lain yang menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka adalah Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad.

Menurut Hamim hampir 75 peratus pembahagian harta pusaka di negara ini diuruskan oleh JKPTG yang mempunyai 36 Unit Pembahagian Pusaka di seluruh negara dengan setiap satunya bertanggungjawab menguruskan permohonan bagi dua hingga empat daerah.

“Perkhidmatan itu dibuat berdasarkan peruntukan perundangan yang bertujuan membantu orang ramai mengurus harta pusaka tanpa perlu turut naik mahkamah,” katanya.