PASIR SALAK, 28 Januari:

Isu kewangan dikenal pasti sebagai faktor utama menyebabkan perceraian di kalangan pasangan muda di Perak.

Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Perak, Wan Safariah Munsurdin berkata, berdasarkan statistik, seramai 35,000 ibu tunggal berdaftar dengan pertubuhan itu dan daripada jumlah berkenaan, 30 peratus adalah golongan muda berumur 25 dan 35 tahun.

“Kita dapati, pasangan bercerai muda ini rata-rata tidak berkemampuan, selepas mempunyai anak. Mereka tidak mampu menyara rumah tangga.

“Malah, kita dapati, ada juga suami jenis panas baran dan apabila pendapatan isi rumah tidak mencukupi…ditambah dengan tekanan, menyebabkan mereka melafazkan cerai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Parlimen Pasir Salak, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman dan masalah rumah tangga yang dirujuk, campur tangan keluarga mentua juga mendorong kepada perceraian.

Pada masa sama, Wan Safariah berkata, sebanyak 40 peratus atau 14,000 ibu tunggal di Perak berjaya dibawa keluar daripada garis kemiskinan, dengan menjana ekonomi sendiri, seperti berniaga kecil-kecilan dan penternakan.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus sahaja bergelar usahawan berjaya,” katanya.