KUALA LUMPUR, 12 Januari:

Isu penyusuan anak yang menjadi viral di media sosial perlu kembali kepada ajaran Islam yang merupakan satu cara hidup yang telah mengajarkan kepada semua bahawa proses penyusuan yang mulia ini harus dipelihara kemuliaan dan keindahannya.

Pegawai Pematuhan Shariah Hospital Pakar An-Nur, Asma’ Amatullah Hasanuddin berkata detik penyusuan anak adalah waktu yang cukup istimewa bagi seorang ibu dan anaknya.

Menurutnya, saat mata saling bertentangan, sentuhan dan belaian seorang ibu itu cukup manis manakala keajaiban hadirnya seorang cahaya mata, ditambah keajaiban rezeki susu yang keluar dari jasad seorang manusia bergelar ibu cukup istimewa.

“Kepada ibu muda yang menyusukan, saya hormati dan saya sayangi anda semua, namun untuk memuat naik gambar privasi kita atas apa juga tujuan dan niat, saya kira bukanlah tindakan yang baik.

“Siapa mereka untuk menatap momen istimewa kita. ‘Make it private. Make it exclusive!’  Hanya untuk yang istimewa yang terpilih. Barulah ‘class!’

“Kepada Amran dan para peminatnya, saya hargai keperihatinan anda, namun setiap kebaikan harus dilakukan dengan cara yang baik, bahasa yang baik, gaya yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya yang juga Naib Presiden 2 IKRAM Siswa Nasional itu lagi, apa juga alasan untuk menyusukan secara terbuka dikhalayak bukanlah pilihan.

Jelasnya, Allah S.W.T yang memberikan nikmat kepada kita, mengajarkan kepada kita bahawa aurat harus dipelihara di mana sahaja kita berada serta seorang ibu memerlukan momen privasi dan keselesaan, jauh dari mata-mata dan hati yang tidak bertanggungjawab

Ujarnya, ia tidak bermakna ibu-ibu ini yang perlu mengalah membenarkan momen privasi ini dicemari, apatah lagi melanggar arahan dan perintah Allah S.W.T untuk memelihara aurat sebaliknya menjadi menjadi golongan pendesak.

“Mereka harus menuntut agar pihak yang mempunyai kuasa memastikan kesemua pejabat-pejabat kerajaan dan swasta menyediakan ruang kemudahan yang selesa untuk para ibu yang bekerja atau yang datang atas apa jua urusan agar dapat melaksanakan aktiviti dan sebarang urusan penyusuan.

“Memastikan kemudahan ruang penyusuan menjadi kemudahan asas yang perlu ada di semua tempat yang bersesuaian termasuk pusat-pusat membeli belah, taman-taman rekreasi, pusat rehat dan rawat (R&R), dan sebagainya

“Namun begitu, kekurangan ruang tidak sepatutnya menjadi alasan kerana ‘nursing cover’ boleh disediakan di samping memakai pakaian yang bersesuaian serta menjadikan nursing cover sebagai satu kemestian untuk dibawa ke mana-mana agar boleh menyusu di mana-mana bila keadaan memerlukan dalam keadaan yang terjaga dan terpelihara,” tegasnya.