PUTRAJAYA, 7 Januari:

Tidak perlu tubuh jabatan khas bagi menjaga hal ehwal lelaki, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Dalam reaksi terhadap cadangan kementerian itu menubuhkan jabatan khas lelaki, susulan peningkatan kes penceraian, disebabkan suami didera isteri, beliau berkata, apa yang penting ialah program mengenai hak dan kepentingan golongan lelaki.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya hari ini, beliau turut menegaskan, perancangan dan pelaksanaan dasar serta gerak kerja kementeriannya menjurus untuk wanita dan lelaki.

“KPWKM tidak melibatkan wanita sahaja. Segala yang KPWKM buat, menjurus untuk lelaki dan wanita, kerana keluarga melibatkan ibu dan ayah. Dalam isu perlindungan kanak-kanak, ia juga melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya.

Dalam kes membuli suami, beliau berkata, Akta Keganasan Rumah Tangga adalah untuk semua dan isteri ganas juga boleh dikenakan tindakan.

Rohani diminta mengulas saranan Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang dilaporkan membuat saranan itu, susulan kajian pakar sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, 23,800 kes penceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini pada 2014 disebabkan penderaan mental dan psikologi yang dialami suami.

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata, tanggungjawab lelaki sebagai suami lebih berat berbanding isteri, tetapi golongan itu tidak ada tempat untuk membuat aduan.

Sementara itu, Rohani yang juga Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial (MOST IGC) Unesco berkata, beliau akan mencadangkan Malaysia menjadi tuan rumah untuk satu daripada mesyuarat MOST IGC.

Beliau yang dilantik menerajui MOST IGC bagi tempoh 2015-2017 berkata, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam MOST IGC, selaras kepercayaan yang telah diberikan masyarakat dunia kepada negara.

MOST yang dilancarkan pada 1994 ialah satu-satunya program Unesco yang menggalakkan penyelidikan sains sosial yang akan diguna pembuat dasar di peringkat global, terdiri daripada 35 negara anggota Unesco, termasuk China, Turki, Brazil, Kanada dan Indonesia.