PUTRAJAYA, 31 Ogos:

Bermula esok, isi rumah di tujuh negeri, termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya akan memulakan pengasingan sisa pepejal di punca atau dari rumah, secara mandatori.

Pelaksanaan perintah yang turut diadakan di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis itu, antara lain bertujuan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa yang semakin meruncing, bagaimanapun ia tidak melibatkan sebarang denda.

Sebagai langkah advokasi, isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal di punca, hanya akan diberikan notis amaran, sebelum penguatkuasaan sepenuhnya undang-undang kepada mereka yang ingkar bermula 1 Jun tahun depan.

Berdasarkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap penduduk yang enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal.

Pelaksanaan itu menyaksikan orang ramai perlu mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis, iaitu bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki, sisa pukal serta sisa kebun di tempat berasingan, sementara menunggu hari kutipan yang telah ditetapkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Kaedah kutipan oleh konsesi dilaksanakan mengikut formula 2+1, iaitu kutipan dua kali seminggu untuk sisa baki, manakala seminggu sekali, masing-masing bagi sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, penguatkuasaan akta itu tepat pada masanya, kerana selain mampu mengurangkan peratusan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sehingga 40 peratus, ia juga dijangka dapat meningkatkan kadar kitar semula melebihi 22 peratus, menjelang 2020.

Daripada 33,000 tan sisa pepejal yang dikumpul setiap hari, hanya 10.5 peratus daripadanya dikitar semula, selebihnya dilupuskan di tapak pelupusan.

“Selain dapat membantu menambah jangka hayat tapak pelupusan, pelaksanaan akta ini juga diyakini dapat meningkatkan kadar kitar semula kepada lebih 22 peratus menjelang 2020,” katanya.

Mengenai penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan akta pengasingan sisa pepejal di punca itu, Ab Rahim berkata, secara dasarnya, orang ramai sedar akan kepentingan mengasingkan setiap sampah, namun masih keberatan untuk melakukannya di rumah.

“Sebab itu, kita telah lancar Ops Mata Hati bagi memantau sejauh mana penduduk setempat mengasingkan sisa pepejal di rumah, selain untuk membiasakan masyarakat dengan penguatkuasaan dasar tersebut,” katanya.