KOTA BHARU, 14 Julai:

Biro Kebajikan UMNO Malaysia meneruskan agihan bantuan kepada mangsa banjir dan masyarakat yang memerlukan di Kelantan dengan pembahagian zakat bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata langkah itu dibuat selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu bantuan semua bantuan zakat kepada semua masyarakat yang memerlukan.

Katanya, UMNO Malaysia melalui Biro Kebajikan memperuntukkan berjuta-juta ringgit kepada negeri-negeri yang dilanda bencana seperti banjir besar dan gempa bumi.

“Saya belum kira jumlah keseluruhan, tetapi sudah berjuta ringgit dikeluarkan oleh kita (Biro Kebajikan UMNO) untuk membantu masyarakat yang ditimpa bencana di Malaysia.

“Kita tengok tahun ini, Biro Kebajikan UMNO tidak ke luar negara seperti tahun-tahun sebelumnya kerana kita mahu membantu rakyat kita sendiri yang kesusahan.

“Tumpuan pihaknya pada tahun ini adalah untuk membantu negeri Sabah yang dilanda gempa bumi selain negeri-negeri yang terlibat dengan bencana banjir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat Parlimen Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, sumbangan zakat itu disampaikan kepada 500 orang penduduk yang memerlukan di parlimen itu.

AZEEZ 1
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan pembahagian zakat bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri. – Foto TRP/Mohd Zulhairie

Katanya, selain orang miskin, anak-anak yatim dan warga emas yang tinggal di pusat jagaan masing-masing juga turut menerima sumbangan hari raya Aidilfitri.

“Selaku bapa angkat parlimen Pengkalan Chepa, saya minta kepada rakyat untuk terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Jelas sekali bahawa bantuan yang diberikan tidak pernah pilih kasih.

“Amanah yang diberikan oleh Presiden Parti, untuk menyerahkan bantuan kepada semua yang memerlukan tanpa mengira fahaman parti sudah diberikan dan ini adalah bukti jelas bahawa UMNO beri sumbangan ini kerana Allah.

Azeez berkata, tindakan itu menunjukkan UMNO melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat bukan secara bermusim tetapi berterusan.

Kataya, banyak program diwujudkan antaranya, jejak kasih, ziarah kasih dan pemimpin bersama rakyat adalah untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat di negara ini.

“Jadi sumbangan ini bukan baru dan Biro Kebajikan sudah lakukan sekian lama serta rakyat boleh menilai apa yang UMNO lakukan,” jelasnya.