KUALA LUMPUR, 8 Mei:

RapidKL memerlukan tambahan kira-kira 500 pemandu bas bagi menggerakkan kesemua 1,500 bas syarikat itu untuk menampung bilangan penumpang di Lembah Klang.

Mengikut statistik yang dikeluarkan syarikat Prasarana Malaysia Berhad, bas RapidKL merupakan antara mod pengangkutan penting bagi kira-kira 300,000 penumpang di 166 laluan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor setiap hari.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata, pihaknya kini hanya mempunyai seramai 1,724 pemandu termasuk 65 wanita yang hanya mampu memandu 900 buah bas.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan namun RapidKL masih gagal menampung kekurangan pemandu basnya ekoran kurangnya minat rakyat Malaysia untuk menceburi pekerjaan itu,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun Lim berkata, gaji yang ditawarkan sebenarnya agak lumayan sehingga mencecah RM2,000 sebulan, manakala anggota keluarga mereka dapat menggunakan pengangkutan awam milik Prasarana secara percuma.

Namun katanya, mereka yang berminat menjadi pemandu lebih cenderung memohon menjadi pemandu bas ekspres kerana dikatakan kurang tekanan akibat kesesakan lalu lintas, tidak banyak hentian, waktu kerja yang lebih singkat serta kurang penumpang yang sekali gus mengurangkan rungutan.

Di sebalik alasan itu, Lim berkata pemandu bas henti-henti RapidKL juga sebenarnya mempunyai waktu kerja yang fleksibel iaitu terbahagi kepada tiga syif dengan waktu kerja lima hari seminggu.

“Bagi pemandu dalam kalangan pesara seperti tentera dan polis pula, mereka mendapat waktu kerja yang anjal iaitu hanya empat hari seminggu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kesan masalah itu, Lim berkata kekurangan pemandu boleh menjejaskan perancangan RapidKL untuk menghasilkan perkhidmatan bertaraf dunia selain menjejaskan pencapaian matlamat untuk mengurangkan waktu menunggu ke tahap minimum.