KUALA LUMPUR, 2 Mei :

Seramai 30 penulis yang terdiri daripada kalangan kenalan peribadi, ahli akademik, wartawan, penggiat sosial telah mendedikasikan 28 penulisan dari pelbagai genre sempena pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang ke-35.

Buku yang berjudul ‘His Royal Highness Sultan Nazrin Shah Reflections and Recollections’ mengandungi lima artikel dalam Bahasa Melayu dan 23 dalam Bahasa Inggeris.

Antara penulis yang terlibat adalah Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Sri Datuk Dr Zulkifli Abdul Razak, Datuk Johari Tun Razak, Datuk Dr. Hashim Yaakob, Datuk Abdul Jalil Hamid, Datuk Baharuddin Zainal, YM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Dr Sharon Kaur dan Dr Chandra Muzaffar.

Dilancarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, buku berkenaan dianggap sebagai catatan kasih, semangat kesetiaan dan penghargaan kepada Sultan Nazrin.

Titah Sultan Sharafuddin ketika melancarkan buku berkenaan menggambarkan penerbitan buku berkenaan adalah tanda hubungan rakyat dan institusi Istana dengan mendedikasikan karya kepada Sultan.

Titahnya, ia juga merupakan satu usaha untuk menghidupkan semula tradisi hubungan istana dengan dunia penulisan dan pensuratan

“Melalui penerbitan ini, para penulis berpeluang merakamkan catatan kasih, semangat kesetiaan dan penghargaan kepada Sultan.

“Ia juga bertepatan dengan watak dan kepribadian intelek Paduka Adinda (Sultan Nazrin) yang merupakan seorang putera raja dan Sultan yang meminati buku dan dunia pensuratan,” titahnya.

Sultan Nazrin Shah ketika bertitah turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas penerbitan yang khusus didedikasikan sebagai satu memori sempena pertabalan beta.

Malah Tuanku juga optimis mengkaji setiap satu artikel yang diterbitkan untuk memperbaiki institusi diraja yang diterajuinya.

“Artikel yang dihasilkan turut mengandungi analisis berkaitan relevansi institusi Raja dalam era modenisasi, pada tahap leterasi rakyat yang semakin tinggi.

“Ulasan, pandangan, unjuran dan saranan yang terkandung dalam artikel yang dihimpunkan di dalam penerbitan ini akan beta jadikan cermin untuk melihat ketidaksempurnaan sama ada peribadi atau institusi agar tindakan penambahbaikan dapat dirintis,” titahnya merujuk kepada buku yang diterbitkan oleh RNS Publications.

Sementara itu, salah seorang penulis buku berkenaan, Datuk Johari Tun Razak berkata penerbitan buku berkenaan merupakan satu medium yang boleh mendekatkan rakyat dengan institusi diraja.

“Tuanku (Sultan Nazrin) sangat peramah.. buku ini sangat berguna kepada golongan muda khususnya untuk memahami monarki isntitusi diraja,” katanya.

Selain itu, Tan Sri Dr. Mohamed Munir Abdul Majid berkata pandangan bernas Sultan Nazrin dalam setiap isu menyebabkan beliau terpanggil untuk mendedikasikan sebuah penulisan yang menggambarkan Tuanku sebagai Raja yang berfalsafah.

“Saya menggambarkan Sultan Nazrin dengan merujuk kepada Raja yang berfalsafah yang membawa cahaya, iluminat kefahaman.

“Ini kerana Tuanku sering membawa refleksi baharu dalam pentadbiran negerinya. Beliau sangat merendah diri dan tidak terlalu ‘diraja’, sering berfikiran terbuka,” katanya yang mengenali Sultan Nazrin sejak tahun 1995.

Tan Sri Jawhar Hassan menyifatkan peluang menyumbangkan penulisan dalam buku berkenaan adalah satu penghormatan besar sepanjang kerjayanya.

“Ini adalah salah satu khidmat dan jasa kepada Tuanku, bagi saya apa yang dapat diingat daripada ucapan Sultan Nazrin mengenai beberapa isu cabaran negara dan pandangan Tuanku mengenai apa-apa yang berlaku di dunia terutamanya dunia Islam.

“Tuanku sangat merendah diri dan mesra di antara kenalan dan mempunyai kebijaksanaan yang sangat tinggi menyebabkan saya terlalu sanjung dan hormat,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Raja Perempuan Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Tuanku Bainun dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Sultan Nazrin Shah akan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-35 pada 6 Mei ini.