KUALA LUMPUR, 23 Januari :

Masyarakat Aceh sangat berpegang kuat kepada konsep ukhwah dan kerjasama antara mereka sehingga mampu mewujudkan kelompok mereka yang kini menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pengembangan sosial masyarakat  di Malaysia.

Sejarah membuktikan masyarakat Aceh telah datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-19 dan ramai daripada mereka merupakan kalangan pedagang dan ulama yang melarikan diri daripada tekanan Belanda yang menjajah kepulauan Riau dan Sumatera.

Niat asal generasi pertama yang datang ke Tanah Melayu adalah untuk mengumpulkan dana untuk membeli senjata bagi membantu peperangan di Aceh ketika itu dan membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Belanda.

Tapi, kebanyakan daripada mereka mula menjadikan Malaysia sebagai negara angkat mereka dan akhirnya beberapa generasi lahir di sini, namun tetap menjaga adat orang Aceh.

Presiden Dewan Perniagaan Aceh, Haji Mansor Othman berkata, di Malaysia terdapat 500,000 warganegara yang  berketurunan Aceh dan daripada angka ini 200,000 daripada mereka menceburi  bidang perniagaan kecil dan sederhana di seluruh negara.

Tidak hairanlah orang Aceh ini menguasai kawasan-kawasan perniagaan tradisi yang dahulu dimonopoli kaum Cina  sekitar Kuala Lumpur  seperti  gerai jualan dan lot-lot kedai di Jalan Chow Kit, Lorong Raja Bot dan sekitar lot perniagaan di Kampung Baru sehingga ada yang menggelarkan Chow Kit sebagai ‘Pekan Aceh’.

Apakah rahsianya?

Haji Mansor berkata pegangan dan prinsip orang Aceh adalah menjaga “ukhwah”, itulah yang membawa kejayaan mereka di perantauan sekian lama.

“Istimewanya kami ini adalah berpegang kuat kepada tali persaudaraan terutama dalam kelompok masyarakat Aceh, Melayu dan Islam.

“Kekuatan kami adalah membangunkan ekonomi orang Melayu Islam daripada dimonopoli oleh bangsa asing. Ibarat kata dimana bumi dipijak di situ langit kami dijunjung,” ujarnya yang telah menetap di negara ini sejak 30 tahun lalu.

Hj Mansor merupakan pengasas Komuniti Masyarakat Aceh-Melayu Kuala Lumpur sejak 1986 di mana membantu menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan, agama dan perniagaan untuk komuniti itu.

mansor_othman
Kalau di Aceh sambutan Maulidur Rasul diadakan sehingga tiga bulan berturut-turut yang mana setiap kampung wajib mengadakan acara itu secara bergotong royong, kata Mansor – Foto TRP/Dalia Ismail

Antara aktiviti yang dilaksanakan baru-baru ini adalah membantu mangsa banjir di beberapa negeri di Pantai Timur Semananjung.

“Melalui dana yang dikumpulkan oleh masyarakat Aceh dan Dewan Perniagaan Aceh, kami berjaya menyalurkan sejumlah RM150,000 untuk membantu mangsa banjir.

“Ini adalah sumbangan kecil masyarakat Aceh di negara ini yang mana dahulu ketika Aceh dilanda Tsunami pada 2004, kerajaan dan rakyat  Malaysia banyak membantu saudara mara kami yang ditimpa bencana di Aceh.

“Kami menganggap orang Melayu di negara ini serumpun dengan orang Aceh. Jadi semua aktiviti anjuran dewan perniagaan di sini akan disertai oleh komuniti Aceh,” terangnya juga mengendalikan perniagaan pemborong dan peruncit barangan kecantikan dan kesihatan  di bawah syarikat PT Harapan Bunda Sdn.Bhd.

Salah satu aktiviti Dewan Perniagaan Aceh yang membabitkan komuniti Aceh–Melayu Kuala Lumpur adalah penganjuran sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan Maulidur Rasul  kali yang ke-29 pernah diadakan.

Tahun ini sambutan Maulidur Rasul diadakan dua hari dengan pelbagai aktiviti pengisian kerohanian. Dianggarkan seramai 20,000 jemputan setiap tahun meraikan bersama Maulidur Rasul di sini.

Difahamkan sambutan Maulidur Rasul ini diusahakan oleh semua ahli di dalam Dewan Perniagaan Aceh dan peniaga-peniaga Melayu sekitar Kampung Baru  dengan kerjasama Perkumpulan Sosial Aceh, Indonesia.

“Kalau di Aceh sambutan Maulidur Rasul diadakan sehingga tiga bulan  berturut-turut yang mana setiap kampung wajib mengadakan acara ini secara bergotong royong.

“Saya bawa tradisi ini ke Malaysia sejak 1986 memulakan sambutan Maulidur Rasul di kalangan orang Aceh  hanya  200 orang  sahaja ketika itu dibuat  Kampung Baru. Saban tahun jumlah yang datang untuk bersama meraikan Maulidur Rasul meningkat,” ceritanya.

Haji Mansor berkata, seramai 400 ahli Perkumpulan Sosial Aceh, Indonesia telah datang untuk membantu persediaan majlis diadakan ini.

“Kita  telah menyembelih 20 ekor lembu dan 15 ekor kambing. Ini satu persediaan majlis yang besar dan kami mahu mendedahkan masakan asal orang Aceh kepada semua tetamu yang hadir.

“Semua persiapan makanan dan minuman dilakukan secara bergotong royong membabitkan peniaga-peniaga di kalangan orang Aceh dan Melayu di sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dewan Perniagaan Aceh yang ditubuhkan sejak 2011 ini dianggotai seramai 250 usahawan kecil dan sederhana yang mengerakkan semua aktiviti berbentuk ekonomi, kebajikan, agama  dan sosial masyarakat Aceh di seluruh negara.

Terkini atas inisitaif  dewan perniagaan ini, dijangka sebuah surau akan dibina di Jalan Raja Bot Kuala Lumpur yang akan dikenali sebagai Surau  Komuniti Masyarakat Aceh.

Surau dua tingkat itu akan dibina diatas tapak seluas 400 kaki persegi dengan kos perbelanjaan RM600,000 yang kini sedang kerja pembinaannya menunggu kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Kesejahteraan Bandar dan Wilayah Persekutuan,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Penaung Komuniti Masyarakat Aceh-Melayu Kuala Lumpur, telahpun menandatangani sebuah plak pelancaran surau berkenaan ketika hadir dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan baru-baru ini.