KUALA LUMPUR, 31 MAC:

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia tidak mungkin dapat mengekalkan pembangunan dan kemajuan seterusnya jika hanya bergantung kepada pendapatan sedia ada tanpa mentransformasikan sistem percukaian negara.

Seperti yang dibuktikan menerusi gambar-gambar di media, juga dilihat sendiri oleh rakyat Malaysia, beberapa harga barangan adan yang turun dan tak kurang juga yang naik melambung.

Maka ada sebab untuk Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek yang memberitahu bahawa, agensi kerajaan itu tersepit dalam dilema berkaitan isu harga barang kerana ia perlu menjaga kedua-dua pihak, iaitu kepentingan pedagang (peniaga) dan juga melindungi kepentingan pengguna.

Kata beliau, seperti disiarkan media: “Saya bertemu pembeli, peniaga, pemborong dan semua pihak berkenaan isu ini, jadi semua kena faham, saya menjaga semua pihak. Pengguna dan persatuan pengguna kena bercakap dan buat tindakan sewajarnya.”

Menteri itu kesal kerana perakus yang menaikkan harga barangan sesuka hati membuatkan jutaan rakyat Malaysia berasa kurang selesa. Tambahan pula dengan khabar angin yang timbul, membuatkan mereka rasa berdebar dengan cukai baharu itu yang dilabelkan dengan pelbagai nama timangan.

“Kita sudah kuat kuasa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, bukan kita tidak buat operasi dan sebagainya. Tangkapan juga dilakukan dan banyak kes dalam siasatan. Semuanya ada dilaporkan di media,” katanya sambil berjanji supaya ‘pihak’ yang terlibat dengan kenaikan harga barangan secara melampau itu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Kalau kita masih ingat, menjelang 72 jam pelaksanaan GST sebelum malam ini, orang ramai dilihat mula membanjiri beberapa pasaraya untuk membeli barangan keperluan sebelum dikenakan cukai tersebut.

Pada 28 Mac lalu, The Rakyat Post melaporkan bahawa orang ramai mengambil kesempatan berbelanja dengan membeli-belah secara banyak sebelum pelaksanaan GST.

Menurut, seorang suri rumah, Nurul Ilham Rahmat, 32, ketika ditemui di sebuah pasaraya di ibu kota berkata, masa yang berbaki beberapa hari lalu digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keluarganya terutama anak-anaknya. Semuanya gara-gara bimbang dengan harga yang bakal melonjak naik bermula malam ini.

Sama seperti yang disahkan oleh Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai sikap peniaga yang menggunakan alasan GST untuk menaikkan harga barang.

Katanya, tidak hanya pengguna yang mengambil kesempatan membeli barangan keperluan di saat-saat akhir sebelum dikenakan GST, tetapi peniaga juga bersikap demikian.

“Bezanya, ada di kalangan peniaga yang mengambil kesempatan dengan menipu pengguna menggunakan pelbagai kaedah,” katanya.

Perilaku tidak bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja membuatkan ‘suri rumah’ berasa berdebar malah Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani pun turut rasa berdebar menanti saat bersejarah untuk melihat bagaimana derita yang terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat Malaysia yang terpaksa membayar cukai GST mulai malam ini.

Menurutnya, derita itu bakal dikenang sepanjang zaman kerana ia dikenakan kepada mereka yang miskin dan kaya, senang dan papa.

Mereka yang berani melanggar peraturan dan undang-undang Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bertindak ‘macam negara ini bapak dia punya’. Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan bagaikan buta, tidak melihat jenayah mega di hadapan mata.

Seperti yang didedahkan media juga NGO yang prihatin dengan pengguna juga sudah berbuih-buih mulut mereka berkempen mengenai hal ini yang telah berlaku sejak sekian lama, sehingga harga barangan asas pun meningkat berganda-ganda.

Dikhabarkan juga, peniaga kedai makan ada yang sengaja menaikkan harga makanan yang tak seberapa. Mereka memburukkan lagi keadaan dan situasi yang sedia tegang sehingga membuatkan pemimpin-pemimpin besar dari Kuala Lumpur, termasuk Perdana Menteri turun padang berjanji akan memperbaiki keadaan itu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hammed pula meluahkan rasa kecewa terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan bahawa pengusaha restoran enggan menurunkan harga mereka walaupun harga minyak telah diturunkan.

Noorul Hassan berkata, pengusaha restoran juga sebahagian daripada pengguna kerana pihaknya juga telibat dengan pengeluar, pemborong dan peruncit secara langsung.

“Contohnya kacang dal. Pemborong yang mengimport kata harganya dijual mahal kerana nilai mata wang Ringgit menyusut dan pengusaha restoran yang membelinya terpaksa beli dengan harga mahal melalui peruncit.

“Dalam keadaan ini, masing-masing tunding jari tidak mahu mengaku siapa yang menjadi punca. Kami juga berhadapan dengan masalah peruncit dan pemborong sayur yang menjualnya dengan harga mahal.

“Alasannya, mereka terpaksa menaikkan harga sayur kerana banjir. Penjual sayur beri alasan banjir dan terpaksa menjual sayur mereka lebih mahal dan sayur yang kami beli sudah dua kali ganda harganya dari biasa,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurutnya, pengusaha restoran dijadikan kambing tambatan untuk melencongkan isu sebenar kerana harga gas memasak, bil elektrik, air dan lain-lain perkhidmatan seperti internet, caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan dan levi pekerja asing tidak turun pula.

Beliau yang meminta agar orang ramai tidak menyalahkan pengusaha restoran kerana ujarnya, beliau sendiri sudah empat tahun tidak menaikkan harga makanan dan minuman di restorannya.

“Saya sendiri masih mengekalkan harga lama. Kami tak naik harga langsung kerana persaingan sangat sengit. Pelanggan cerdik, kalau jual mahal mereka boleh pilih untuk memboikot restoran tertentu atau memuat naik hal itu ke dalam laman sosial.

“Kami ada niat untuk menurunkan harga tetapi di sekeliling kita, tiada pun yang menurunkan harga. Kami tak berani naik harga sebab khuatir pelanggan lari, kini kepada siapa kami nak mengadukan hal ini?” katanya.

“Tambahan pula dengan ancaman perompak, pengguna makan tidak berbayar dan diugut, banyak lagi masalah yang kami hadapi dan kami berserah kepada Allah S.W.T memberikan rezeki yang halal kepada kami.

“Tidak dinafikan ada segelintir pengusaha cuba mengaut keuntungan tetapi dalam suasana persaingan hari ini, ada juga peniaga yang kais pagi makan pagi, untung pun cukup-cukup makan kerana mereka ada hutang yang perlu dijelaskan. Oleh itu, janganlah kita menunding jari. Marilah kita sama-sama cari mekanisme untuk menyelesaikan masalah ini tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya.

Hari ini GST telah berkuatkuasa namun setakat semalam tiada seorang pun pemilik atau tauke itu berjaya dikesan, jauh sekali ditangkap.

Syabas, kami ucapkan kepada pasaraya-pasaraya yang mengambil bahagian dalam kempen penurunan harga barangan. Walau yang turun hanya ‘sekupang’, boleh juga disimpan dalam tabung untuk kegunaan di masa hadapan.

Contohnya, pasaraya Mydin yang telah membuat keputusan untuk menyerap GST demi meringankan beban pelanggannya ekoran peningkatan kos sara hidup pada masa kini.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pelanggan tidak perlu risau kerana mereka masih boleh mendapatkan pelbagai barang pada kadar harga sama walaupun sistem percukaian itu mula dilaksanakan esok.

“Buat masa ini, kami akan menanggung GST kerana kami mahukan yang terbaik untuk semua pelanggan rangkaian Mydin, MyMydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Jadi pelanggan tidak perlu panik dan boleh terus berkunjung ke Mydin untuk mendapatkan barangan keperluan mereka,” katanya kelmarin.

Tambahan, dengan adanya sistem aplikasi telefon mudah alih yang dikenali ‘MyKira GST’ yang berfungsi membantu orang ramai membuat semakan segera impak GST terhadap barangan dan perkhidmatan yang hendak mereka beli atau langgan sebelum meneruskan urusniaga diharapkan membantu kerana menerusi MyKira GST, pengguna dapat mengenal pasti peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan terhadap barangan jualan dengan paparan ‘thumb’s up’ atau ‘thumb’s down’.

Sekiranya didapati ada peniaga mengambil kesempatan, pengguna boleh terus membuat aduan menggunakan saluran e-aduan yang tersedia di dalam aplikasi berkenaan.

Teringat kata-kata Perdana Menteri: “Kita tidak tahu apa alternatif kepada GST. Cuma mereka (pemimpin pembangkang) naik atas pentas, dia kutuk kerajaan dan kata tolak, tumbang kerajaan,” katanya ketika melancarkan Majlis Senator Malaysia (MSM) di bangunan Parlimen tahun lalu.

Datuk Seri Najib berkata, sesebuah masyarakat yang boleh berfikir memerlukan kepada intelektual input.

“Kalau tidak setuju tolong bagi alternatif. Kalau kita kutuk sahaja tanpa mengemukakan alternatif, kita tidak memberikan sesuatu alternatif yang baik kepada negara,” ujar beliau sambil menambah yang setiap keputusan kerajaan termasuk dalam soal GST dilakukan menerusi kajian mendalam dan bukan dibuat secara meluru.

Beliau menegaskan, kerajaan mempunyai asas rasional yang cukup konkrit mengapa GST perlu dilaksanakan.