GEORGETOWN, 3 April :

Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dari belakang di KM8.5 Jambatan Pulau Pinang, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian pada 3 pagi itu, Asnor Fazeela Osman, 25, dari Tanjung Tokong mati di tempat kejadian manakala suaminya, Amir Azrin Ahmad Noh, 24, cedera parah setelah kedua-duanya terpelanting beberapa meter.

Ketika kejadian itu, motosikal yang ditunggang suami mangsa berada di lorong motosikal sebelum dirempuh sebuah kereta, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata Amir Azrin dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya dilapor masih kritikal.

Pemandu kereta berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak cedera dan kini ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.