KUALA LUMPUR, 12 November:

Enam suspek terdiri daripada warga Myanmar dan Thailand telah dikenal pasti bagi membantu siasatan berhubung penemuan kubur dipercayai etnik Rohingya di Wang Kelian, Perlis, Mei lepas.

Namun, tiada suspek tempatan yang dikenal pasti setakat ini, sejak siasatan dijalankan Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Ketua pasukan berkenaan SAC Goh Kok Liang berkata kesemua suspek dikesan berdasarkan maklumat daripada soal siasat kira-kira 30 saksi yang majoritinya rakyat tempatan dan beberapa pelarian Rohingya di Depoh Tahanan Belantik, Sik, Kedah.

“Daripada maklum balas mereka, tiada keterangan bahawa rakyat tempatan terlibat, hanya nama enam orang ini yang disebut.

“Bagaimanapun, saya alu-alukan orang ramai untuk salurkan maklumat kepada kami sekiranya mereka mengetahui ada orang tempatan terlibat, jangan hanya dengar cakap-cakap,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.