NIBONG TEBAL, 31 Julai:

Seorang pelajar lelaki tahun satu yang hilang ketika keluar bersama bapanya ke kolam ternakan ikan di Jalan Sungai Udang, Sungai Acheh semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Pegawai Operasi Mencari dan Menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penolong Penguasa Fauzi Shuib berkata mayat Khor Yi Jia dijumpai tengah hari tadi setelah usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dihentikan pada jam 11.30 malam tadi disambung semula pada jam7 pagi hari ini.

“Mayat mangsa Khor Yi Jia, tujuh tahun, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Yok Eng, telah dijumpai lebih kurang 200 meter dari  kawasan yang (dia) dilaporkan hilang pada pukul 12.31 tengah hari tadi,” katanya hari  ini.

Katanya, seramai 10 orang anggota bomba termasuk penyelam dengan bantuan 10 anggota polis marin menyertai operasi itu.

Mangsa dilaporkan hilang ketika berada di pelantar sangkar ternakan ikan yang terletak berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang.