KOTA KINABALU, 12 November:

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOST) dalam perancangan membina sebuah Pusat Sains Negara (PSN) di Tuaran, Sabah, kata menterinya, Datuk Wilfred Madius Tangau.

Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperhebat promosi bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda di negeri tersebut.

“Perancangan ini sudah lama diadakan antara kementerian dan PSN. Saya berharap ia dapat direalisasikan dalam jangka masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PSN SciFEST 2015 di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Membawa Pusat Sains Kepada Komuniti’, festival julung kali diadakan di Sabah itu berlangsung mulai hari ini hingga Ahad ini dengan sasaran menarik 25,000 pengunjung terdiri daripada pelajar dan mahasiswa.

Memandangkan PSN terletak di Kuala Lumpur, Madius berkata ini adalah peluang untuk warga guru dan pelajar di negeri ini mendekati bidang STI menerusi pameran disediakan PSN pada festival itu.