JITRA, 12 Oktober:

Seorang pekerja tapak binaan maut, selepas dihempap pengorek jengkaut, ketika menanam tiang konkrit di Kampung Seberang Kuala Jerlun, Ayer Hitam, semalam.

Azemi Senawi, 55 tahun, maut di tempat kejadian kira-kira jam 3.30 petang Sabtu, akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah, berkata ketika kejadian, mangsa bersama tiga pekerja lain sedang menanam tiang konkrit menggunakan sebuah jengkaut, apabila hos hidraulik jengkaut itu rosak, menyebabkan pengoreknya jatuh menghempap mangsa.

“Ketika memacak tiang, ia memerlukan seseorang memegang tiang untuk dimasukan ke dalam lubang, manakala jengkaut digunakan untuk menolak tiang masuk ke dalam tanah,” katanya.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jerlun tengah malam tadi.