BACHOK, 1 November :

Hakisan teruk menjadikan Kampung Kemayan yang terletak berhampiran pantai Bachok di sini ibarat sedang menghitung hari untuk terus lenyap daripada peta.

Penduduk yang tinggal di sini akan dilanda ketakutan setiap kali musim tengkujuh kerana khuatir pada bila-bila masa sahaja rumah mereka akan dibadai angin kencang dan ombak kuat.

Sehingga kini hanya tinggal kira-kira enam buah rumah membabitkan 30 penghuni masih tinggal di kampung itu berbanding 15 buah sebelum ini disebabkan penduduk terbabit tiada tempat lain untuk berpindah.

Seorang penduduk, Ramlah Omar, 67, berkata sebelum ini terdapat kira-kira 15 buah rumah dan sebuah padang bola di kampung itu tetapi kini sebahagian besar kediaman serta padang itu telah lenyap akibat hakisan dan dihanyutkan ombak.

“Lebih seekar dah tempat kami ini dihakis ombak dan saya bersama keluarga hidup dalam ketakutan sokmo (sentiasa) ketika musim tengkujuh.

“Pada musim ini biasanya ombak begitu dekat dengan rumah dan kadang kala zink rumah berbunyi dan rumah bergegar akibat angin kuat,” katanya ketika ditemui Bernama.