BUTTERWORTH, 11 Mei:

Sebuah syarikat tempatan di sini menghasilkan produk rawatan alternatif jus sari daun betik yang dikatakan mampu merawat demam denggi dengan lebih cepat.

Penasihat syarikat Al Faris Enterprise, Datuk Dr Shuib Saidin berkata produk yang mengandungi beberapa enzim itu mampu membantu menghalang duplikasi virus dan mengaktifkan proses penyembuhan demam denggi termasuk demam denggi berdarah.

“Syarikat menjalankan kajian kira-kira dua hingga tiga bulan sebelum menghasilkan sari daun betik dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

“Menurut kajian kami, ia dapat membantu mengatasi masalah demam denggi dengan berfungsi meningkatkan bilangan platlet darah dalam badan serta mengurangkan simptom demam denggi dan mengaktifkan proses penyembuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan turut membuat kajian ke atas dua kumpulan pesakit demam denggi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor baru-baru ini.

“Satu kumpulan meminum sari daun betik sebagai alternatif sepanjang rawatan mereka dan didapati pesakit pulih dengan cepat berbanding pesakit yang tidak mengambil produk berkenaan,” katanya.