KUALA TERENGGANU, 25 Julai:

Sebanyak 946 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang Op Aidilfitri yang bermula 10 Julai lalu dan berakhir semalam.

Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata daripada jumlah itu sebanyak 348 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal termasuk atas kesalahan teknikal (52 kes).

Katanya sepanjang tempoh berkenaan yang melibatkan empat operasi bersepadu, pihaknya memeriksa 6,717 kenderaan termasuk 1,961 motosikal dan mengambil tindakan terhadap 1,275 pemilik kenderaan (512 pemilik motosikal).

Abdul Rahman berkata dalam operasi berkenaan sebanyak 15 pasangan remaja bukan muhrim bermotosikal antara yang ditahan dalam operasi bersepadu selama hampir tiga jam sempena Aidilfitri di sekitar bandar raya ini.

Pasangan berusia dalam lingkungan 19 hingga 27 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan diberikan notis untuk menghadiri sesi kaunseling berjadual di pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Abdul Rahman berkata ini merupakan kali keenam anggota penguat kuasa Maidam terlibat dengan operasi bersepadu khususnya di bawah kendalian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.