KUANTAN, 12 November:

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan hari ini, melakar sejarah apabila tenaga pengajar dan para pelajarnya berjaya membina sebuah bot utiliti serta menguji keupayaannya pada Program Strategi Lautan Biru (NBOS) ILP Kuantan-Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1 Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM).

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Syed Mohamad Noor Syed Mat Ali berkata usaha melibatkan kepakaran Fakulti Teknologi Fabrikasi Logam dan Teknologi Kimpalan ILP Kuantan itu amat memberangsangkan serta mencapai objektifnya.

“Tujuan utama projek membuat bot utiliti ini adalah untuk memberi latihan amali dan pengalaman kepada para pelajar diploma dalam bidang berkaitan menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan dalam industri.

“Setelah kerja dijalankan sejak November 2013, hari ini bot sepanjang 16 meter dengan lebar 4.3 meter seberat 17 tan itu diuji dari aspek takat apung, kestabilan dan kebocoran dengan melepaskannya secara perlahan-lahan ke dalam air pada program NBOS ini.

“Hasilnya kita mendapati ia berjaya mencapai standard yang ditetapkan dan menepati kehendak industri, sekali gus menunjukkan bahawa tenaga pengajar dan pelajar terlibat amat berkebolehan dalam bidang mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ujian bot utiliti itu di jeti MAWILLA 1 di Tanjung Gelang di sini.