ALOR SETAR, 12 November:

Dua buruh kontrak warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan berasingan merasuah pegawai Imigresen dan bersubahat membantu melakukan kesalahan rasuah, Ahad lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Md Mosher Rahoman, 37, didakwa telah secara rasuah memberikan suatu suapan wang tunai RM10,000 kepada seorang ejen kerajaan Malaysia, Yusrazif Wan Yusoh yang bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah.

Rasuah itu diberikan sebagai dorongan kepada Yusrazif bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu supaya tidak mengambil tindakan ke atas beberapa orang warganegara Bangladesh yang ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dalam pertuduhan berasingan, Md Liton, 36, dituduh membantu Mosher melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu memberikan rasuah kepada Yusrazif.