KUALA LUMPUR, 9 Februari:

Gara-gara mencederakan seorang lelaki warga Myanmar menggunakan tali pinggang, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret, Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Jasni Abdullah, 20, bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu 20 November lalu.

Selain Jasni, pekerja restoran, Mohd Sufri Abd Razak, 22, dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang bekerja sebagai promoter turut didenda RM2,500 atau penjara empat bulan setiap seorang, selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Mereka didakwa menyebabkan kecederaan ke atas pekerja buruh binaan, Van Hninh, 36, menggunakan tali pinggang besi di sekitar kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Pudu, Jalan Sarawak, Dang Wangi, kira-kira jam 9.30 malam 20 November lalu.

Menurut fakta kes, ketika Van berjalan menuju ke LRT Pudu, dia ditahan ketiga-tiga tertuduh yang bertanyakan kewarganegaraannya, sebelum dipukul seorang daripada tertuduh di belakang kepala, menggunakan tali pinggang besi tajam berbentuk lambang ‘Batman’, manakala dompet serta telefon bimbit mangsa turut diambil tertuduh.