KUALA PERLIS, 12 November:

Sebuah bangunan letak kenderaan bertingkat dirancang akan dibina di Kuala Perlis dalam usaha mengatasi masalah letak kereta di pekan tersebut terutama semasa musim cuti.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan memberitahu kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah mengadakan rundingan dengan pihak Tabung Haji (TH) untuk melaksanakan projek berkenaan.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Perlis berkata satu tapak milik PKENPs bersebelahan Hotel Brasmana di sini dicadang untuk dijadikan tapak bagi projek berkenaan.

Katanya, setakat ini kos sebenar projek tersebut belum dapat dipastikan, bagaimanapun ia akan melibatkan penyediaan tempat letak kenderaan beberapa tingkat selain ruang perniagaan.

Menurut beliau, tapak yang dicadangkan tersebut difikirkan sesuai kerana ia terletak berhampiran jeti Jabatan Laut Kuala Perlis untuk memudahkan para pelancong meletakkan kenderaan mereka sebelum menaiki feri untuk ke pulau pelancongan Langkawi.