GEMAS, 12 November:

Sebanyak 136 mangsa daripada 31 keluarga di Jelai 4 dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama Felda Jelai 4 selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan malam tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar berkata mereka terdiri 32 lelaki dewasa, 43 wanita dewasa, 13 lelaki warga emas, 14 wanita warga emas, 11 kanak-kanak lelaki, 16 kanak-kanak perempuan, empat bayi lelaki serta tiga bayi perempuan.

“Air melimpah masuk ke kediaman penduduk setelah hujan turun tanpa henti sejak pukul 8 malam. Kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Felda Jelai 4 berikutan paras air meningkat sehigga 12 tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa dipindahkan antara pukul 1 pagi dan 2 pagi dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi bantuan dan menyediakan keperluan seperti tikar, selimut dan makanan kepada mangsa banjir.

Kesemua mangsa bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 9 pagi ini setelah air surut, namun pusat pemindahan berkenaan masih dibuka, katanya.