BEGITU lah hebatnya rakyat Malaysia; walau datang dari pelbagai latar belakang sama ada berbeza dari segi pendidikan, sosioeokonomi malah ideologi politik sekalipun; kita sanggup melupakan segala perbezaan yang ada buat sementara dan mampu bersatu hati apabila membuat kesimpulan tergesa-gesa dalam sesuatu isu walaupun ‘terlepas pandang’ isu sebenar.

Hanya beberapa minggu lalu, berduyun-duyun pelbagai pihak menuding jari dan tidak kurang juga tohmahan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila agensi itu memanggil beberapa remaja perempuan Islam berhijab; yang dalam keterujaan remaja berkenaan ketika menghadiri konsert K-Pop, bertindak naik ke atas pentas dan memeluk artis K-Pop kesayangan mereka.

Bagaimanapun, semua termasuk saya juga ‘terkedu’ apabila mengetahui tindakan memanggil remaja berkenaan bukanlah bertujuan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada mengaturkan sesi kaunseling Jakim kepada ibu bapa, penjaga serta remaja perempuan terbabit.

Dalam satu lagi kes, apabila pihak sebuah sekolah menengah di Cheras menghantar pulang  seorang pelajar bukan Melayu yang dikatakan melanggar disiplin dalam mengenakan baju kurung ke sekolah, maka pelbagai kecaman serta pelbagai andaian kita baca dan dengar daripada pelbagai pihak sehingga isu sebenar di sebalik kejadian jadi tenggelam – walhal, permasalahan antara kedua belah pihak (penjaga pelajar terbabit dan pihak sekolah) boleh diselesaikan secara saksama tanpa digembar-gemburkan dengan sentimen perkauman berbaur politik di media.

Itulah hakikatnya. Kita, termasuk saya, majoriti rakyat Malaysia malah pemimpin politik juga tidak terkecuali dalam melakukan ‘serkap jarang’ sehingga akhirnya isu atau keputusan serta kenyataan yang dibuat menenggelamkan hal yang paling utama dan timbul pula isu lain yang membawa implikasi negatif.

Terkini, membabitkan isu merotan anak. Satu Rang Undang-Undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 bakal dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada bulan Julai akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, pada 25 Januari lalu dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata, tindakan ibu bapa yang didapati merotan anak bakal dilihat sebagai satu kesalahan jenayah, di mana ibu bapa boleh dikenakan hukuman penjara.

Di Malaysia, peruntukan untuk menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah bagi kes berkenaan sudah pun sedia ada. Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 melalui Seksyen 31 dan Seksyen 33, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan kerana mendera atau mengabaikan anak.

Rohani dalam kenyataannya berkata, penggubalan akta baharu itu kini berada di peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara. Sekiranya Rang Undang-Undang ini diterima sebagai satu akta baharu; mana-mana ibu bapa yang didapati merotan anak mereka boleh dikenakan hukuman penjara mandatori selain kerja khidmat sosial yang lebih berat.

Katanya, tindakan penggubalan akta baru berkenaan itu dibuat selaras dengan keputusan Malaysia menerimapakai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di bawah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang ditandatangani pada 1995.

Langkah mewujudkan akta baharu berkenaan juga adalah selaras dengan cadangan untuk memansuhkan Seksyen 91(1)(g) Akta Kanak-Kanak 2001 yang buat masa ini , membenarkan mahkamah menjalankan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang didapati bersalah dalam kes jenayah.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri itu berkenaan telah mengundang pelbagai polemik daripada pelbagai pihak di negara ini. Ada yang bersetuju dan ramai juga yang tidak.

Hanya selepas ramai yang ‘menjerit’ barulah Menteri berkenaan menghabiskan kenyataan awalnya dengan mengulas lebih lanjut pada keesokan hari dengan menambah, tindakan keras hanya diambil terhadap ibu bapa yang merotan anak secara keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak terbabit. Bagaimanapun tindakan merotan anak bagi tujuan mendidik tidak dilihat sebagai mendera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai isu yang sama berkata, Rang Undang-Undang berkenaan masih lagi di peringkat cadangan dan masih belum dibentangkan ke Kabinet. Beliau turut menjamin, kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan semua pihak.

Isu merotan anak bukanlah sesuatu yang baru. Bagi masyarakat Timur, pendidikan dan pengajaran dalam pembentukan sahsiah anak bukan saja berlangsung dalam bentuk nasihat, pendekatan psikologi malah dalam bentuk pengajaran serta disiplin.

Dalam Islam, merotan anak juga dibenarkan dengan tujuan untuk mendidik sahaja, bukannya mendera. Rasulullah (SAW) dalam sebuah hadis Baginda membenarkan memukul (merotan) anak yang sudah berusia 10 tahun sekiranya anak tersebut tidak menunaikan solat. Ibnu Qudamah pula berpendapat bahawa tindakan merotan anak dengan tujuan untuk mendidik merupakan satu bentuk ‘hukuman pemulihan’ yang telah disyariatkan oleh Islam untuk melatih anak tersebut melakukan kewajipan agama seperti solat. Manakala seorang lagi ulama Islam, al-Manawi, mengatakan bahawa rotan adalah pendorong kepada seseorang untuk beradab dan berakhlak dengan akhlak mulia dan nilai-nilai murni yang kebanyakannya sukar untuk dilaksanakan.

Biasa kita dengar, ibu bapa merotan anak bila si anak melakukan kesilapan. Dua dekad atau tiga dekad lalu, adalah normal bagi pihak sekolah mengenakan tindakan merotan di khalayak (public canning) terhadap pelajar yang didapati melanggar disiplin yang agak berat seperti merokok, membuli pelajar lain atau ponteng sekolah.

Malah, ada juga kes di mana mahkamah juvana mengenakan hukuman sebatan terhadap remaja yang terbabit dalam jenayah berat selain mereka ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak.

Terngiang-ngiang di telinga saya, bagaimana ungkapan bapa saya ketika ‘menyerahkan’ kami adik beradik kepada Ustaz atau Ustazah yang mengajar mengaji al-Quran serta fardu ain, pada satu ketika dahulu.

“Ustaz, saya serahkan anak saya kepada ustaz untuk belajar al-Quran. Pukullah (sambil menyerahkan rotan kepada ustaz/ustazah berkenaan) anak saya jika dia degil atau malas belajar asal jangan patah riuk (tulang), cacat anggota, tempang, pekak bisu serta buta,”.

Bagaimanapun, ini berbeza sekali di Barat. Pendekatan merotan atau memukul anak dilihat sebagai satu norma serta budaya yang paling tidak bertamadun. Negara maju mempunyai undang-undang serta akta yang cukup ketat dalam melindungi hak kanak-kanak di negara mereka.

Namun, adakah pendekatan yang mereka lakukan melalui penguatkuasaan undang-undang satu penyelesaian terbaik dalam mengukuhkan lagi hidup berkeluarga serta institusi kekeluargaan yang sudah sedia terhakis di sana? Atau mungkin Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kita sendiri agak tergesa-gesa menerima saranan yang dikemukakan oleh pihak Unicef.

Sebagai rakyat negara ini dan sebagai seorang ibu, saya juga ingin tahu apakah tindakan pihak kementerian menerima bulat-bulat acuan Barat itu adalah berikutan saranan serta maklum balas pihak daripada Unicef mengenai kualiti kehidupan kanak-kanak di Malaysia tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh badan antarabangsa berkenaan.

Sepatutnya kejadian di mana pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awaludin dan Shalwati Nor Shal, masing-masing dihukum penjara di Sweden pada Mac tahun lalu atas dakwaan mendera anak mereka di sana, dijadikan pengajaran serta garis panduan dalam aspek perundangan keluarga di negara ini.

Adakah pihak kementerian ada membuat kajian mengenai kesan terhadap institusi kekeluargaan di negara maju terbabit apabila negara berkenaan mengguna pakai garis panduan yang ditetapkan oleh CRC di bawah penyeliaan Unicef  itu.

Di sesetengah negara maju seperti di Sweden sebagai contoh, sekiranya berlaku penderaan, mahkamah boleh bertindak mengasingkan anak daripada kedua ibu bapa mereka dan meletakkan anak di bawah penjagaan kerajaan atau keluarga angkat sebagai penjaga sementara (temporary custodian) sehingga kanak-kanak itu mencapai usia 18 tahun.

Adakah dengan berbuat demikian akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi keluarga terbabit. Dalam kita memberi tanda isyarat kepada dunia antarabangsa bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bebas yang tidak mahu campur tangan asing, tiba-tiba kita sendiri dengan tanpa disedari rela ‘ditarik hidung’ dalam hal yang membabitkan kepentingan serta kebajikan rakyat negara ini.

Perundangan keluarga serta Akta Kanak-Kanak di negara ini perlu mengambil kira aspek nilai serta norma dan budaya tempatan yang bukan saja melindungi kebajikan kanak-kanak malah pada masa yang sama melindungi serta memperkukuhkan lagi nilai institusi kekeluargaan yang ada.

Kita juga tidak pasti apakah motif sebenar cadangan ‘mengharamkan’ merotan anak ini dikemukakan pada ketika ini. Adakah kerana ingin memperbaiki ‘indeks demokrasi’ Malaysia di peringkat antarabangsa? Sekiranya demikian, elok dilupakan sahaja niat dan hasrat tersebut. Indeks demokrasi Malaysia di mata dunia agak sukar untuk diperbaiki kerana seringkali menjadi ‘mangsa politik’ oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

Adalah lebih baik kerajaan berusaha membuat penambahbaikan terhadap undang-undang yang sedia ada mengenai hak dan perlindungan terhadap kanak-kanak di samping turut mengambilkira idea dan pandangan yang boleh diterimapakai dalam konvensyen antarabangsa mengenai hak kanak-kanak yang telah dipersetujui oleh Malaysia. Sementara semua usaha ini berjaya, kerajaan, NGO dan rakyat jelata mesti bekerjasama bagi memastikan usaha untuk memelihara hak kanak-kanak di negara ini tercapai.