HARGA MINYAK turun – siapa untung dan siapa yang rugi?

Saya ada terbaca sekali pandang dalam satu laporan berita ekonomi antarabangsa yang menjangkakan harga minyak mentah boleh turun pada paras yang lebih rendah sehingga mencecah US$40 setong? Benar kah?

Jika benar fenomena ini akan berlaku, tentunya ia akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Yang pasti, tentunya bagi pihak pengguna, rakyat marhaen seperti saya – perkara ini secara idealnya akan memberi keuntungan lebih BESAR dengan harapan harga barangan keperluan pada masa yang sama akan turun.

Ia juga sejajar dengan apa yang pernah diwar-warkan oleh seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini dengan nada penuh yakin berkata, sekiranya harga minyak (bahan api) turun…harga ‘barangan’ lain akan turun sama. Pun begitu, itulah yang kita kata sebagai teori dan andaian, di mana teori dan andaian tidak semestinya menjadi kenyataan.

Kita sudah masuk minggu ke dua bagi tahun 2015 dan sehingga kini juga saya masih tertunggu-tunggu agar berlaku satu ‘keajaiban’ dengan harapan harga segelas kecil teh tarik, secawan milo panas serta sepinggan mee goreng yang mencanak naik tahun lalu di kedai-kedai kopi serta restoran mamak, akan turut surut sebanyak dua puluh sen atau sekurang-kurangnya turun 15 sen daripada harga sedia ada.

Namun, sehingga kini, harapan hanya tinggal harapan. Hampeh…tak da maknanya…bak kata orang sekarang. Menunggu harga barangan turun berikutan kejatuhan harga minyak di pasaran bolehlah diibaratkan bagai menunggu buah yang tidak akan gugur. Tidak akan gugur…saya sebut dua kali.

Bila kita tanya kepada ‘Abang Ane’ (pekerja di restoran mamak tu): “Bila mahu kasi turun itu harga teh dengan mee goreng? Kerajaan sudah umum harga minyak petrol RON95 dan diesel turun 1 Januari.”

Maka dengan selamba dia jawab, “Hello akak, mana ada turun, kita masak makanan dengan itu minyak masak bukan dengan minyak petrol.”

Sesungguhnya kita kena faham, fenomena kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia adalah sesuatu yang hanya bersifat sementara. Kita juga kena faham walaupun ramai orang seperti kita berasa ‘riang gembira’ dengan kejatuhan harga bahan api, namun hakikatnya ada juga ‘orang-orang’ lain yang tidak segembira kita.

Mereka yang terbabit dalam industri carigali/jual beli atau apa saja berkait rapat dengan industri minyak dan gas asli adalah antara golongan yang tidak gembira dengan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa, selain pengusaha stesen minyak yang beroperasi di serata negara.

Mana tidaknya, ketika harga minyak mentah mencanak naik, mereka inilah golongan yang mendapat pulangan atau ‘perks’ dalam bentuk bonus, jualan pukal, jualan runcit, apa saja lah yang berkait rapat dengan keuntungan berniagakan hasil produk petroleum.

Ketidakgembiraan mereka ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenyataan akhbar di mana ‘keluh kesah’ pengusaha stesen minyak mula didengar di sini sana, dan paling menggeramkan perasaan saya bila ada yang cuba buat ‘emotional blackmail’ dengan mengugut mahu berhenti beroperasi gara-gara rugi apabila harga runcit minyak mula diturunkan.

Tetapi ironinya bila kita imbas kembali ketika zaman harga petroleum tinggi mencanak pada satu ketika, golongan ‘saudagar minyak’ ini tidak pula menunjukkan sekelumit simpati terhadap rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang walau dalam apa keadaan sekalipun terpaksa juga ‘tagak’ dengan harga bahan api yang tinggi, selain mengadap kenaikan kadar tarif elektrik yang tinggi juga.

Selain itu juga, tidak dinafikan kerajaan sendiri turut merosot pendapatan berikutan kejatuhan harga minyak mentah. Kita sendiri sedia maklum hubungan rapat “bagai aur dengan tebing” antara Petroliam Nasional atau Petronas dan kerajaan yang sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Dalam bidang politik itu sendiri, semua orang tahu peniaga paling besar dalam mana-mana keadaan adalah kerajaan. Oleh itu, kerajaan sebagai “peniaga” perlu memastikan dirinya tidak rugi dari segi jangka masa panjang. Yang pasti, keadaan harga bahan api tidak akan dibiarkan berterusan jatuh dalam jangka masa lama…pasti mereka akan berhempas pulas mencari jalan penyelesaian.

Pada saat dan ketika ini, kita pohon kebijaksanaan barisan kepimpinan dalam kerajaan agar segera menangani masalah penyimpanan stok barangan di kalangan sesetengah peniaga yang bertujuan mengawal kejatuhan harga barangan keperluan, atau dalam kata lain untuk memastikan harga barangan kekal mahal.

Tidak dapat dinafikan pada masa yang sama juga secara rawak, agak sukar juga bagi pengguna di sesetengah tempat untuk mendapatkan bekalan petrol RON97 berikutan sering dikatakan kehabisan stok di kebanyakan stesen minyak.

Mungkinkah ada berlaku keberangkalian kecurangan seperti gejala sorok bekalan barangan keperluan yang pernah terjadi dalam tahun 1970-an sekali lagi? Just throwing a question…dengan izin.

Ketika harga minyak petrol dinaikkan, kami sebagai pengguna ketika itu tidak ada daya kecuali ‘terkebil-kebilkan’ mata yang tak terkebil itu dan beraturlah sepanjang-panjang barisan kenderaan sebelum jam 12 tengah malam untuk mengambil kesempatan mengisi sepenuh-penuhnya tangki minyak kereta yang ada.

Kita orang bawah yang bayar cukai tak sebeberapa ini bukan banyak sangat minta pun.

Kita hanya mahu supaya taraf hidup keluarga menjadi lebih baik; harga barangan keperluan terkawal; harga rumah mampu milik juga masuk akal…sesuai dan seimbang dengan pendapatan keluarga (taklah duduk dalam reban ayam dan memanjang rumah kos rendah); cukup keperluan pakai dan makan minum; dan dapat sekolah dan guru yang baik untuk pendidikan anak.

Kita tak mintak pun nak jadi jutawan dan hartawan (tapi kalau nak beri, apa salahnya).

Namun ada ke orang yang nak dengar keluh kesah kita pula? Adakah orang nak simpati pada kita? Takda mananya…memang dalam apa juga keadaan orang seperti ‘Tipah’ ni terasa sering sangat tertipu dan teraniaya.

Munaarfah Abu Bakar adalah bekas wartawan sebuah media arus perdana. Berpengalaman selama 15 tahun dalam dunia kewartawanan, dan kini lebih selesa memerhatikan perkembangan semasa dari sudut pandangan seorang awam. Beliau kini memberi tumpuan sepenuh masa kepada urusan membesarkan anak dan menguruskan keluarga.