KITA baru saja melangkah ‘kaki’ masuk ke tahun baru namun tidak terlambat rasanya bagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua pembaca ilmuan yang lagi budiman.

Harapan saya dengan bermulanya tahun baru ini akan, kita akan mendapat lebih banyak kebahagiaan, rahmat serta semangat waja bagi menghadapi cabaran mendatang.

Antara perkara utama yang menjadi fokus bagi individu, keluarga serta organisasi adalah perbelanjaan atau bajet.

Bercakap mengenai prospek bagi tahun baru ini, ramai bijak pandai di kalangan ahli akademik, ahli ekonomi serta orang berniaga membuat pelbagai unjuran dan ramalan; kadar pertumbuhan ekonomi serta aktiviti perniagaan dalam negeri tidak akan memberansangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini berkait rapat dengan pengurangan pendapatan negara disebabkan oleh isu penurunan harga minyak dunia, kemerosotan nilai matawang Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika Syarikat serta kelembapan prestasi peniagaan syarikat-syarikat besar di Malaysia.

Sebagai contoh beberapa bulan yang lalu, syarikat tambang murah tersohor di Malaysia, AirAsia mengumumkan kerugian berjuta ringgit selain prestasi Petronas berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia selain isu Penerbangan Malaysia (MAS).

Bagaimanapun, siapalah saya nak bercakap isu besar bagi membincangkan mengenai hal ekonomi mikro dan makro apatah lagi ekonomi global sedangkan ekonomi saya sendiri masih bernaung di bawah bidang kuasa seorang lelaki bernama suami.

Yang saya tahu, cukup bulan suami akan sediakan sekian jumlah bajet sebanyak ini; dan daripada jumlah yang sebanyak ini juga, ‘pandai-pandai engkau lah labu’ nak membuat, menarik, mencanai bajet untuk mengurus rumah tangga.

Suka tidak suka itulah yang ada. Dari jumlah itu juga, ‘engkau wahai bini’ kena bijak buat percaturan dalam mengurus perbelanjaan keluarga.

Nak sangat jadi ‘woman of leisure’ kan?, Jadi, come what may with suffer and pleasure…terimalah bajet bulanan ‘dari ku untuk mu’ walaupun ‘secenonet’ mana sekalipun dengan hati terbuka.

Kami suami isteri hanya ada seorang anak. Dalam anak seorang itu pun, memang kami turut sama ‘terasa’ ketika membuat persediaan bagi membeli persediaan persekolahan bagi sesi Januari 2015, tahun ini.

Ini kerana, saya berasakan nilai jumlah RM500 pada dua tahun lalu lebih besar nilainya berbanding dengan RM650 yang baru kami habiskan pada minggu terakhir tahun lalu untuk berbelanja bagi persediaan persekolahan anak.

Jumlah RM650 yang kami belanja itu membabitkan perbelanjaan kelengkapan alat tulis, buku latihan, buku tulis serta pakaian sukan.

Selain itu juga berikutan peningkatan dari segi saiz badan; kena juga beli dua pasang bagi pakaian seragam sekolah kebangsaan, sekolah Kelas Agama Fardu A’in (Kafa) serta dua pasang kasut sekolah serba baru.

Ada juga yang kami tidak beli seperti beg sekolah yang kami beli ketika bercuti di luar negara pada tahun sebelumnya kerana ia masih elok dan masih boleh digunakan.

Buat apa lah nak membeli jika ada barang yang ada masih dalam keadaan baik.

Itu contoh kami sekeluarga yang berlatar belakangkan pendapatan upper middle class.

Bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan kecil mahupun lower middle class yang tinggal di bandaraya seperti di Greater KL, Johor Baharu serta George Town.

Jika peruntukan bajet bagi seorang anak membabitkan purata RM500 seorang, bayangkanlah jika mereka yang mempunyai empat atau lebih anak yang bersekolah. Mahu menjangkau lebih RM2000. Mana nak dicekau duit sebanyak itu dalam satu masa sekali gus?

Kita ni sibuk berkeriau bising sana sini memperkatakan mengenai kecilnya nilai kuasa membeli kita selain mengeluh mengenai kenaikan pelbagai harga barangaan keperluan walhal harga pasaran minyak mentah dunia sudah jatuh ke paras paling rendah hanya USD60 setong.

Bukan itu saja, penurunan harga bahan api seperti RON95 serta harga diesel (assuming the price will go down by 1st Jan) juga tidak mengurangkan kegusaran saya berikutan tuntutan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah yang mahu menaikkan kadar tambang bas selain kemerosotan nilai matawang Ringgit Malaysia berbanding beberapa matawang utama di negara rantau ASEAN dan juga Dollar US.

Dalam kekalutan kita sibuk berkira-kira bajet kita sini dan sana, kita masih menunggu apakah saranan, nasihat atau panduan kepada rakyat yang tidak cukup ilmu ekonomi dan perniagaan seperti ‘permaisuri rumah’ seperti saya; yang jelas nampaknya pihak yang ‘ditunggu’ setakat ini lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.

Sikap membisu seribu bahasa kerajaan yang enggan mengulas mahupun menyanggah spekulasi pelbagai pihak menyebabkan kita orang bawahan mengambil pendekatan berwaspada dengan penuh perasaan prasangka bercampur baur.

Benar kah langit tidak selalu cerah? Benarkah ekonomi negara akan merudum pada tahun ini?

Beritahu lah kami jika keadaan tidak elok. Beritahulah kami saranan yang paling baik untuk kami membuat persediaan bagi menghadapi saat-saat getir di masa akan datang.

Baiklah, ‘tuan tanah ke daun’ (suamiku) sudah lama bising sejak sejam tadi menunggu secawan nescafe yang tidak sampai-sampai.

Tak nak banyak cakap, kacau sajalah apa yang ada.

Paling penting kurangkan penggunaan nescafe dan gula – nak kena jimat ‘cikit’.