SELANG sebulan lagi rakyat Malaysia akan berhadapan dengan perubahan yang menyeluruh apabila Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mula dilaksana bermula April 1, 2015.

Apakah rakyat dan pengusaha-pengusaha peniagaan di Malaysia bersedia untuk menanggung beban kewangan tambahan ini, demi menyumbang kepada pertambahan perolehan cukai negara dan membantu merancakkan pergerakan ekonomi tempatan?

Walaupun banyak program pendidikan perlaksanaan GST telah dianjurkan oleh Jabatan Kastam, namun persoalan demi persoalan tetap diajukan mengenai pengenalan dan perakaunan GST dari pelbagai sektor dan industri tempatan.

Penulis menyedari keadaan ini ketika membantu sebuah syarikat percetakan tempatan untuk menerbitkan sebuah buku berkaitan GST dalam Bahasa Inggeris, berjudul “FAQs: 200 Questions on Malaysia GST” – yang akan berada di pasaran hujung minggu ini atau selewat-lewatnya, awal bulan hadapan.

Buku berkenaan mengandungi 200 soalan am yang diajukan kepada Jabatan Kastam yang dibahagikan kepada beberapa kategori bersama jawapannya sekali untuk mengurangkan kekeliruan yang timbul berkenaan pelaksanaan GST.

Namun, ketika dalam proses penyuntingan buku berkenaan, penulis mendapati soalan-soalan yang dipetik daripada laman sesawang Jabatan Kastam seolah-olah tidak diperhalusi penulisan dan suntingannya, sehingga ada soalan-soalan yang sama maksudnya, tetapi dikategorikan di bawah kumpulan industri yang berlainan.

Tidak dapat dibayangkan kekeliruan yang mungkin timbul dalam fikiran pelawat-pelawat laman sesawang tersebut. Ini seterusnya mencetuskan persoalan adakah Jabatan Kastam sendiri sudah bersedia secara sepenuhya untuk menghadapi dan menangani permasalahan-permasalahan lain yang, tidak dapat tidak, pastinya akan diutarakan nanti?

Pada pendapat penulis, akan timbul banyak persoalan lain yang akan dikemukakan kepada jabatan tersebut setelah GST berkuatkuasa. Malah dari tahun ini, sehingga tahun hadapan, penulis menjangka akan timbul pelbagai permasalahan dalam perakaunan GST, sehingga ia diselesaikan satu-persatu secara ad hoc.

Antara soalan-soalan am yang dikemukan:

  1. Pastikah kerajaan bahawa pengusaha-pengusaha perniagaan yang akan dikenakan GST, tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, walaupun mereka akan mendapatkan pemulangan ke atas cukai yang dibayar atau  Input Tax Credit?
  2. Benarkah rakyat hanya akan membayar enam peratus GST ke atas pembelian barangan dan perkhidmatan, sekaligus memperolehi penjimatan daripada pembayaran Cukai Penjualan & Perkhidmatan (SST) yang sedia ada, dan yang akan dihapuskan apabila GST berkuatkuasa?
  3. Apakah kos tambahan dari GST yang ditanggung oleh pengusaha perniagaan – secara berperingkat, seperti pembekal, pemborong dan peruncit – tidak akan dimanipulasi dalam harga terakhir barangan dan perkhidmatan yang diperagakan kepada pengguna?
  4. Apakah pengusaha-pengusaha perniagaan tidak akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan dengan bertopengkan pelaksanaan GST?
  5. Walaupun dengan penghapusan SST, yang adakalanya mencecah 10 peratus, dicampur dengan penurunan cukai pendapatan sebanyak empat peratus bermula pada tahun 2015, apakah ini akan memastikan kos sara hidup rakyat tidak akan meningkat secara mendadak?
  6. Sebagai pembayar cukai, pasti apa yang bermain di fikiran mereka adakah perolehan daripada cukai ini akan dimanfaatkan oleh kerajaan sebaik mungkin untuk mengurangkan defisit negara, dan pada masa yang sama, menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan?
  7. Apakah kita akan melihat pembinaan infrastruktur asas yang dijanjikan?
  8. Dari segi perbelanjaan kerajaan pula adakah ia akan lebih berhemah dan berpatutan pada tempatnya, seperti yang seringkali dinasihatkan oleh kerajaan kepada rakyat?

Segalanya tidak mungkin dapat dipastikan secara jelas sehinggalah pelaksanaan, penguatkuasaan dan pemantauan dilakukan secara tekal. Sama-samalah kita tunggu dan lihat kerana Kabinet pentadbiran kerajaan sekarang, ada tiga tahun lagi untuk membuktikan kebijaksanaan menguruskan kewangan negara … Wallahu a’lam.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan di atas adalah pendapat, pandangan dan hasil penyelidikan penulis.