SEBAGAI sebuah negara yang masih membangun, ekonomi Malaysia tidak dapat lari daripada pengaruh pergerakan ekonomi dunia.

Pada minggu ini, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akan membentangkan laporan unjuran ekonomi dunia untuk tahun 2015.

Secara kasarnya, penganalisis ekonomi antarabangsa berpendapat bahawa IMF akan membuat penurunan penilaian terhadap unjuran perkembangan ekonomi dunia.

Pakar ekonomi IMF sendiri melihat ekonomi dunia tahun ini hanya akan berkembang sebanyak 3.8 peratus, suatu angka yang selari dengan unjuran Bank Dunia yang menganggarkan perkembangan sebanyak 3.6 peratus.

Baru-baru ini juga, Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde dilaporkan berkata bahawa terdapat empat faktor atau risiko utama yang akan mempengaruhi ekonomi dunia pada tahun ini, antaranya ialah ketidakselarasan dasar-dasar bank pusat.

Perkara ini akan menjadi lebih jelas apabila Rizab Persekutuan Amerika (US Fed) dijangka akan menaikkan kadar faedah jangka masa pendek dalam waktu terdekat ini, sementara Bank Pusat Eropah (ECB) dan Jepun (BOJ) pula akan mengekalkan dasar kewangan mereka.

Kadar faedah yang lebih tinggi ini, berserta dengan kenaikan kadar mata wang Amerika dan turun naik pengaliran modal, kata Christine, adalah risiko kedua yang akan memberi kesan berganda terhadap ekonomi negara-negara yang masih membangun.

Tambahnya lagi, kesan ini akan lebih terasa memandangkan banyak bank dan syarikat dunia yang meminjam dalam bentuk mata wang Amerika dalam lima tahun kebelakangan ini.

Risiko ketiga pula ialah kadar pertumbuhan ekonomi dan inflasi yang rendah di Eropah dan Jepun, sementara risiko terakhir melibatkan krisis geopolitik yang tidak berkesudahan seperti di Timur Tengah dan Ukraine.

Christine juga berkata kebangkitan semula ekonomi Amerika tidak boleh lagi dijadikan sandaran atau tunggak utama untuk menyokong perkembangan ekonomi negara-negara lain di dunia, kerana ia juga terkesan daripada penurunan harga minyak mentah, yang kini berada dibawah paras US$50 (RM178.37) setong.

Tambah Christine, masih banyak juga negara yang menanggung beban hutang dan kadar pengangguran yang tinggi, kesan daripada krisis kewangan Amerika tujuh tahun lepas.

Tidak dapat dinafikan lagi, kejatuhan harga minyak mentah dan penyusutan nilai ringgit terhadap mata wang Amerika ini juga adalah faktor-faktor utama yang sama yang akan menyaksikan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, membentangkan tinjauan semula belanjawan 2015 pada hari ini (Selasa Januari 20, 2015).

Tanpa menyentuh dengan lebih terperinci, Najib dilaporkan berkata, tinjauan semula belanjawan 2015 akan melibatkan langkah-langkah pengstrukturan dan campur tangan yang lebih proaktif untuk mengatasi situasi semasa, termasuk bencana banjir yang berlaku pada penghujung tahun lepas yang dijangkakan akan menelan belanja pemulihan yang besar (sehingga kini sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan).

Katanya lagi, langkah-langkah ini perlu untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi mampan.

Belanjawan asal 2015 dijangka menelan belanja RM273.9 bilion, tetapi dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang sebelum ini menyumbang 30 peratus daripada pendapatan negara,  kenaikan pendapatan cukai serta pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) pada bulan April ini ia pasti memberi kesan kepada kita.

Oleh kerana kejatuhan harga minyak mentah dunia dan perbelanjaan besar untuk pasca banjir (malah, kini Sarawak pula dilanda banjir besar), factor tidak terjangka ketika pembentangan belanjaawan 2015 dibuat, kerajaan terpaksa melihat semula di mana perbelanjaan negara dapat dikurangkan – mungkin daripada RM50.5 bilion peruntukan pembangunan atau RM223.4 bilion daripada pengurusan.

Sama-samalah kita lihat nanti apa yang perlu dilakukan kepada Belanjawan 2015 untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi lebih daripada lima peratus dan memangkas defisit fiskal ke tiga peratus, dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju lima tahun lagi… wallahualam.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan di atas adalah pendapat, pandangan dan hasil kaji selidik penulis.