Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Saya rasa masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru dan diharapkan tahun 2015 ini akan memberi azam serta harapan baru kepada kita semua.

2014 yang baru berlalu begitu menduga kita rakyat Malaysia.

Bermula dari insiden pesawat Malaysian Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sejak 8 Mac dan usaha mencarinya masih diteruskan sehingga Mei depan; disusuli pula dengan tragedi pesawat syarikat yang sama penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapalnya, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Menjelang penghujung 2014 kita diduga pula dengan musibah banjir besar yang hampir menenggelamkan tiga buah negeri di Pantai Timur selain turut melanda beberapa negeri lain.

Apabila kita merasa bahawa setakat itu saja kita akan diduga, ujian menimpa lagi hanya tiga hari menjelang ambang 2015 apabila pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 membawa 162 penumpang serta anak kapal dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura terputus hubungan dengan menara kawalan lalu terhempas di Selat Karimata (Laut Jawa), 28 Disember lalu akibat cuaca buruk.

Namun saya percaya rakyat Malaysia adalah warga yang tabah serta rajin, dan setiap tragedi yang silih menimpa ini tidak akan menjadikan kita lemah.

Sebaliknya ia wajar menjadikan kita bangsa yang lebih kuat dan berusaha lebih keras untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Cabaran paling besar bagi kita sudah pasti berkaitan usaha meningkatkan lagi produktivi setiap dari kita secara individu dan juga negara.

Apatah lagi bila Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada kadar 4.1 peratus tahun ini, berbanding jangkaan kerajaan 5.4 peratus.

Sementara itu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan pertumbuhan ekonomi negara akan bergerak lebih perlahan berbanding dengan 2014.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula dianggarkan hanya berkembang antara 5 hingga 5.5 peratus berbanding dengan 5.9 peratus yang diuar‐uarkan sebelum ini.

Seperti tahun‐tahun kebelakangan ini, perkembangan ekonomi pada 2015 juga akan dipacu oleh sektor swasta, dalam kedua‐dua kategori pelaburan dan kepenggunaan.

MIER meramalkan beberapa faktor akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

Antaranya permintaan tempatan dan antarabangsa terhadap barangan keluaran negara ini akan berkurangan disebabkan pengguna dan pengimpot akan lebih berhati‐hati dan berkira dengan setiap pembelian.

Hal ini berpunca daripada kenaikan kadar inflasi yang akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi bertambah mahal.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus mulai 1 April ini juga dijangka ada kesannya.

Walaupun dikata bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini yang kadarnya lebih tinggi, iaitu 10 peratus, GST dijangka akan mempengaruhi kadar inflasi kerana kesannya kepada rakyat adalah lebih menyeluruh.

Pada masa yang sama, penghapusan subsidi bahan api, atau lebih tepat lagi subsidi petrol RON95 serta diesel, dan penentuan harga runcitnya ditetapkan mengikut kaedah pengapungan terkawal sama seperti harga pasaran global mulai 1 Disember, dijangka akan mempengaruhi harga barangan keperluan pengguna secara pukal.

Bank Pembangunan Asia (ADB) pula berpandangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang
sederhana, dimangkinkan oleh polisi kewangan negara yang lebih ketat yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai tahun lepas, di mana Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan 25 mata asas ke 3.25 peratus.

Ramalan mengenai ketidaktentuan ekonomi antarabangsa sudah pasti akan mempengaruhi ekonomi Malaysia.

Contohnya seperti penyusutan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (US$1 = RM3.509) dan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia ke paras US$57.00 setong pada penanda aras Brent, (kedua-duanya pada Jumaat, 1 Januari lalu).

Negatif atau positifnya kesan tersebut dalam jangka masa panjang, hanya mungkin akan terlihat dan lebih mudah ditafsirkan setelah berakhirnya suku pertama tahun 2015.

Apapun, umumnya setiap kali bermula tahun baru, kita berharap keadaan ekonomi negara akan bertambah baik daripada tahun‐tahun sebelumnya.

Bak kata nasihat yang selalu disyorkan – “mengekalkan pandangan dan sikap positif akan menjadi tarikan kepada perkembangan positif” – inshaaAllah.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan di atas adalah pendapat, pandangan dan hasil kaji selidik penulis.