RUANGAN soal jawab agama The Rakyat Post dikendalikan seorang ulama muda, Ustaz Mohd Firdaus Zalani, lulusan bidang Syariah dari Universiti Al Azhar, Mesir yang kini berkhidmat dengan pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS).

Bagi anda yang mempunyai apa juga kemusykilan berkaitan syariat Islam, sila kemukakan kepada ustaz muda ini di email bm@therakyatpost.com bagi mendapat pencerahan melalui jawapan serta kupasan beliau.

masjid putra
Masjid Putra di Putrajaya adalah satu daripada masjid tercantik di Malaysia – Foto hiasan bigstockphoto.com

Solat tahiyatul masjid di surau.

Sekiranya sesuatu tempat itu dinamakan surau, adakah kita disunatkan juga untuk solat tahiyatul masjid seperti kebiasaan kita solat sunat tahiyatul masjid di masjid?

Saerah Sulaiman Ali, Kampung Sungai Kertas.

JAWAPAN:

Sebelum kita mengenalpasti hukum solat sunat tahiyatul masjid di surau, marilah kita melihat terlebih dahulu pengertian solat tahiyatul masjid.

Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang dilakukan bagi setiap orang yang memasuki sesebuah masjid. Hukumnya sunat berdasarkan hadith Nabi SAW:

“Jika salah seorang daripada kamu memasuki masjid, maka tidaklah dia duduk sehingga dia menunaikan solat dua rakaat.” (Muttafaqun ‘Alaih).

Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan syarat ketika orang tersebut memasuki masjid.

Masjid dari segi bahasa bererti tempat untuk kita bersujud/ tempat solat. Masjid dari segi istilah pula digariskan ulama sebagai tanah yang diwaqafkan oleh pemiliknya untuk manusia menunaikan solat di dalamnya (tempat solat awam).

Berdasarkan takrif tersebut, dapatlah kita fahami bahawa bukanlah menjadi syarat sesebuah masjid itu hendaklah tempat yang didirikan padanya solat jumaat, cukup ianya memenuhi dua syarat sahaja iaitu berdiri di atas tanah wakaf serta didirikan padanya solat lima waktu.

Surau pada masyarakat Malaysia ialah tempat solat awam sepertimana masjid cumanya kebanyakan surau tidak didirikan padanya Solat Jumaat di dalamnya.

Juga kebanyakkan surau di taman-taman perumahan di Malaysia kebiasaannya dibina di atas tanah wakaf sumbangan pemaju perumahan dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Melihat kepada kefahaman serta suasana yang wujud, hakikatnya sebahagian surau-surau di Malaysia mempunyai fungsi yang sama seperti masjid serta sudah memenuhi ciri-ciri untuk menghukumkannya sebagai masjid.

Maka, hukum beriktikaf, solat sunat tahiyatul masjid dan apa-apa hukum lain yang ada terhadap masjid wujud ke atas surau-surau tersebut.

Cumanya timbul persoalan berkenaan surau-surau dalam bentuk yang lain seperti di tempat kerja dan pasaraya-pasaraya besar. Apakah status surau ini?

Adakah surau-surau tersebut turut mengambil hukum masjid dan sunat untuk kita melakukan solat tahiyatul masjid?

Jawapannya adalah tidak, ini kerana sifatnya adalah berbeza dengan masjid iaitu pada sudut surau dalam bentuk ini tidak sentiasa dilakukan solat lima waktu berjemaah secara tetap, ianya bergantung kepada kehadiran jemaah pada waktu solat tersebut.

Juga sifat binaan surau tersebut yang tidak berdiri di atas tanah wakaf berbeza dengan masjid. Surau dengan kefahaman ini lebih selari dengan istilah “mushalla” pada kefahaman bangsa arab.

Atas dasar kefahaman inilah Jawatankuasa Fatwa di Negeri Sarawak pada tahun 2002 (sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/menaikkan-taraf-surau-kepada-masjid-jamaah-1) telah membincangkan hal ini.

Dalam fatwa tersebut, mereka telah mencadangkan supaya istilah surau yang diberikan terhadap surau yang berdiri atas tanah wakaf serta didirikan solat lima waktu ke atasnya, diubah menjadi istilah “masjid jemaah”.

Cadangan ini adalah dengan tujuan supaya masyarakat tidak keliru tentang persoalan-persoalan yang timbul berkaitan masjid seperti solat tahiyatul masjid, iktikaf dan lain-lain.

Mereka juga telah menggariskan beberapa syarat yang mesti ada pada surau tersebut supaya boleh dinaik taraf menjadi masjid Jemaah iaitu :

-Tapak tanah untuk mendirikan sebuah surau mempunyai surat hak milik sama ada diwakafkan atau dikurnia oleh kerajaan

-Mempunyai jawatankuasa pengurusan yang dilantik penduduk setempat dan diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing

-Mempunyai pegawai-pegawai surau yang tetap

-Mendirikan sembahyang 5 waktu berjemaah dan;

-Mempunyai keupayaan, menjaga kemuliaan dan kebersihan surau

Jadi boleh kita simpulkan bahawa di Malaysia terdapat dua jenis bentuk surau.

Yang pertama iaitu yang didirikan solat 5 waktu berjemaah serta binaanya berdiri di atas tanah wakaf ianya dihukumkan seperti sebuah masjid. Ada pun yang kedua tidak dihukumkan seperti masjid maka tidak boleh dilakukan solat tahiyatul masjid di atasnya.

Wallahu a’lam