KETIKA Ali bin Abi Talib secara diplomatik kalah kepada Muawiyah bin Abu Sufyan dalam Perang Siffin, sekumpulan penyokongnya berhadapan dengan emosi kecewa dan membuat keputusan untuk mendirikan kumpulan, iaitu Khawarij.

Kemunculan kelompok baru bukan sahaja menjadi cabaran kepada Ali bin Abi Talib, malah memberikan kekuatan kepada Muawiyah sehingga akhirnya bergabung tenaga untuk membunuh Khalifah ar-Rasyidin yang terakhir itu.

Mereka yang marah dengan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Muawiyah, menuntut agar tampuk pentadbiran khalifah diserahkan kepada keturunan Ali bin Abi Talib. Kelompok itu menggelarkan diri mereka sebagai syiah.

Kemunculan pelbagai kelompok itu menarik minat Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani (seorang ulama dalam bidang ilmu kalam, tafsir dan sejarah) dan melalui bukunya ‘Al-Milal Wa An-Nihal’ beliau membuat perbincangan yang mendalam mengenai kemunculan pelbagai aliran dan mazhab dalam Islam.

Kelahiran pelbagai aliran itulah telah menyebabkan berlakunya permusuhan dan perpecahan sehingga pertumpahan darah yang memakan korban.

Perkara ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW lagi, iaitu konflik mengenai usaha penulisan wasiat baginda dan penghantaran pasukan di bawah pimpinan Usamah ke Syam bagi membendung serangan tentera Rom.

Situasi ini menjadi semakin mendesak semasa Nabi Muhammad SAW sedang gering, dan menurut Abu Fath, bibit-bibit perpecahan tersebut berlaku disebabkan oleh dua perkara pokok, iaitu berkaitan dengan politik dan keyakinan terhadap sesuatu doktrin.

Politik Malaysia juga tidak terkecuali dilanda konflik apabila ada golongan dalam kerajaan sendiri atau juga dari pihak luar menentang setiap program yang dilaksanakan oleh parti yang memerintah.

Golongan yang disifatkan sebagai ‘kelompok jahat’ ini, dengan bersikap ‘memburu ayam hutan dalam kesamaran cahaya lampu suluh’ menerjang sekuat-kuatnya sehingga menyakinkan segelintir masyarakat umum bahawa perkara yang diputuskan itu adalah salah dan tidak memberikan apa-apa manfaat.

Sebaik-baik agama di sisi Allah,ialah semangat mencari kebenaran yang lapang, tidak sempit, toleren, tanpa kefanatikan dan tidak membelenggu jiwa.

Pemahaman kita kepada Islam adalah pemahaman yang terbuka, yang kerana keterbukaannya itu, ia bersikap inklusif dan mampu menjadi rahmat bagi seluruh alam.

Hakikatnya, semua orang inginkan penyatuan dan perpaduan, tetapi keinginan itu hanyalah sebuah bayangan falsafah, realitinya tidak seindah khabar yang dibawa.

Setiap orang menginginkan kehidupan yang aman dan damai, kerana dari situlah akan terbinanya kerukunan dan keharmonian, tetapi kerana membawa ideologi kepartian yang terlalu tebal, ia menjadi sesuatu yang amat menggerunkan.

Hati setiap orang yang cintakan keamanan tersentuh bahkan terguris apabila ada pemimpin tertentu yang mengaku beriman, sanggup memburuk-burukkan orang lain dengan kata-kata nista sehingga melanggar tatasusila budaya dan agama.

Sedangkan didalam Al-Quran Allah menjelaskan kualiti kaum yang beriman itu ialah bahawa mereka itu: “Dibimbing ke arah tutur kata yang baik, serta dibimbing ke jalan Allah Yang Maha Terpuji” (Surah Al-Hajj ayat 24).

Mereka lupa bahawa politik hanya alat untuk memperoleh kuasa secara sah. Politik bukanlah segala-galanya, tetapi bagi pembangkang, politiklah yang akan dipertaruhkan walaupun mengorbankan maruah demi kelangsungan cita-cita.

Politik dijadikan sebagai ramuan dalam setiap resepi masakan, dari pagi hinggalah ke lewat malam, malah dalam memohon pertolongan dari Maha Berkuasa, mereka turut memasukkan dendam kesumat, melaknatkan pemimpin yang memerintah dan semua yang terbabit dalam proses tersebut.

Inilah sikap negatif yang sebenarnya memerangkap umat Islam.

Gambaran buruk itu telah menyebabkan orang bukan Islam boleh memberikan tafsiran terhadap budaya yang dipertontonkan kepada umum, sehingga menuntut lebih dari sepatutnya.

Kenapa mereka begitu lantang membuat tafsiran? Ini kerana sikap orang Islam sendiri yang masih dalam igauan politik dan tafsiran kepuakan (asabiyah) yang melampau.

Seharusnya umat Islam mampu menghadapi situasi ini dengan akal yang sehat. Pertimbangan yang rasional akan dapat menyelamatkan Islam dan fitnah memfitnah dapat dilenyapkan secara beradab dan bersusila.

Sejarah turut memberikan pengajaran kepada kita bahawa punca kekalahan tentera Islam adalah kerana kita sendiri gagal untuk bersatu. Maka, pihak luar dapat mengambil peluang sehingga mampu menjatuhkan empayar Islam, satu demi satu.

Kes yang berlaku di Timur Tengah misalnya menjadikan Amerika Syarikat dan sekutunya semakin angkuh.

Amerika Syarikat tidak sedikitpun merasakan dirinya bersalah melancarkan serangan untuk menyokong pemberontak yang ingin menjatuhkan Muammar Gadafi. Malah, negara itu beranggapan tindakan tersebut wajar kerana Muammar Gadafi telah menggunakan kekerasan membunuh rakyatnya sendiri.

Konflik dan perselisihan dalam umat Islam telah diungkapkan dengan jelas dalam al-Qur’an.  Terdapat banyak ayat yang memberikan gambaran sebab-sebab yang mencetuskan konflik dan perselisihan.

Misalnya, Surah al-Maidah ayat 14 mengatakan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam.

Perselisihan yang berlaku berpunca dari sikap dengki, khianat, terlalu mencintai kemewahan dunia, tidak mengunakan akal yang sihat dan saling tidak percaya antara satu sama lain.

Sayyid Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini. Beliau menjelaskan salah satu daripada empat sebab utama kehancuran umat Islam ialah kemelut perpecahan yang dijelmakan menerusi kemunculan pelbagai ‘firqah’ atau kelompok.

Kelompok-kelompok ini kemudiannya saling berlumba-lumba untuk mendapatkan kuasa. Di sinilah bermulanya pelbagai pertembungan dan perselisihan sehingga amalan politik menjadi sesuatu yang kotor dan jijik.

Politik dianggapkan sebagai kepelbagaian teknik dan strategi, matlamat akhirnya ialah mendapat kuasa.

Bagaimana kuasa itu diperoleh bukan menjadi kayu ukur, yang penting ialah kemenangan dan menjadi pemerintah.

Dosa dan pahala bercampur. Malah ada ketikanya dosa berubah menjadi “pahala”, kerana itulah pilihan terbaik bagi mendapatkan kuasa.

Itulah politik yang sedang menjadi budaya dan semakin marak dalam mencabut nilai-nilai keimanan dan ketakwaan, akhirnya mengheret manusia dalam kancah sengketa sesama sendiri.

Dalam  konteks ini, Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firmanNya bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami!Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan  dari siapa yang Engkau kehendaki.

“Engkau muliakan siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, dalam tanganMu segala  kebajikan, sesungguhnya Engkau Mahakuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 26).

Rasulullah SAW setiap habis solat membaca doa yang hingga kini masih popular di kalangan umat Islam.

Doa itu bermaksud: “Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah Engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang Engkau halangi dan tidak akan menberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dari apa yang Allah kehendaki.”

Penulis adalah Setiausaha Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.