RUANGAN soal jawab agama The Rakyat Post dikendalikan seorang ulama muda, Ustaz Mohd Firdaus Zalani, lulusan bidang Syariah dari Universiti Al Azhar, Mesir yang kini berkhidmat dengan pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS).

Bagi anda yang mempunyai apa juga kemusykilan berkaitan syariat Islam, sila kemukakan kepada ustaz muda ini di email bm@therakyatpost.com bagi mendapat pencerahan melalui jawapan serta kupasan beliau.

Group of Multiethnic Busy People Working in an Office
Bapa mentua sudah pencen, punya empat isteri dan tiga anak masih belajar, serah tanggungjawab cari nafkah kepada anak-anak yang sudah bekerja. – Foto hiasan: bigstockphoto.com

1. Menantu ambil alih tanggung jawab bapa mentua

Saya tinggal di rumah ibu bapa mentua. Saya ingin tahu apakah tindakan bapa mertua yang tidak mahu bekerja sebaliknya menyerahkan tanggungjawab memberi nafkah kepada empat orang isteri dan tiga anak yang masih lagi menuntut di IPTA kepada suami dan ipar duai saya semata-mata?

Kadangkala bapa mentua mengungkit dan berungut wang yang diberi anak-anaknya tidak cukup untuk berbelanja buat dirinya, isteri dan anak sebaliknya menyalahkan anak-anak lain yang tidak membantunya dengan menghulurkan lebih banyak wang setiap bulan.

Wajarkah saya katakan kepadanya untuk tidak menjadikan alasan sudah pencen maka tidak perlu bekerja dan menyerahkan semua tanggungjawab sebagai suami/bapa untuk memberi nafkah isteri dan anak yang masih lagi menuntut di IPTA itu kepada suami dan ipar duai saya semata-mata?

Menantu Prihatin, Selayang, Selangor.

JAWAPAN:

Memang benar bahawa di dalam mazhab Syafie adalah menjadi kewajipan kepada anak memberi nafkah ibu bapa mereka. Nafkah bentuk ini adalah salah satu nafkah yang wajib ditunaikan seperti nafkah terhadap isteri dan anak.

Namun memahami isu ini pada kadar ini adalah suatu kefahaman yang tidak sempurna. Isu nafkah ini tidak sepatutnya dilihat sekadar pada bahagian siapa berhak mendapatkannya, ia juga sepatutnya meliputi pada perspektif siapa yang memberi nafkah tersebut.

Cara pandang inilah yang diajarkan oleh ulama dalam memahami hal berkaitan nafkah.

Ulama telah meletakkan penilaian kadar pemberian nafkah itu adalah bergantung kepada sejauh mana pendapatan si anak tersebut. Setelah ditolak perkara asas-asas kehidupan, baki itulah menentukan kadar mana yang perlu dibayar.

Bermaksud jika seorang anak itu mempunyai wang yang hanya cukup-cukup untuk kehidupannya maka hilanglah kewajipan anak tersebut membayar nafkah kepada kedua ibu bapanya.

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).

Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan” (Surah at-Thalaq, ayat 7)

Dalam masa yang sama, kewajipan serta kadar itu juga bergantung kepada kemampuan ibu bapa tersebut. Jika ibu bapa itu sudah mempunyai harta yang banyak sehingga boleh dikatakan mewah, maka tidak diwajibkan nafkah keatas anak tersebut.

Juga hendaklah kita fahami kedudukan nafkah itu berbeza walaupun tanpa menafikan kesemuanya diwajibkan. Maksudnya ialah nafkah yang paling utama kedudukannya adalah nafkah terhadap isteri dan juga anak-anak, setelah itu barulah nafkah terhadap ibu bapa serta ahli keluarga setelah itu.

Perkara ini penting dalam hal jika seseorang itu mempunyai harta lebihan yang sangat sedikit setelah ditolak keperluan asasnya.

Jadi untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukan, kesemua perkara ini hendaklah diambil kira. Berapakah kadar kemampuan anak-anak tersebut, berapakah keperluan bapa tersebut, lalu barulah boleh ditentukan berapakah kadar nafkah yang layak serta mampu diberi.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan saudara berkenaan tanggungjawab bapa iaitu berkenaan nafkah anak dan isteri tidak pernah luput serta ianya tidak boleh berpindah kepada pihak yang lain selagi mana dia berada dalam keadaan mampu kerana hukum asal berkenaan nafkah anak dan isteri adalah tanggungjawab bapa tersebut.

Wallahua’lam

 

kaki feet anak baby
Suami mahu zuriat sendiri dan pilihan yang ada cuma berpoligami. Pada isteri pula dia berpandangan mengambil anak angkat adalah jalan alternatifnya berbanding bermadu. – Foto hiasan: bigstockphoto.com

2.Mahu berpoligami kerana tiada anak, tapi isteri mahu ambil anak angkat

Saya telah berkahwin sejak 10 tahun lalu dan tiada anak. Saya mahu berpoligami tetapi isteri membantah dan mencadangkan saya mengambil anak angkat, tetapi saya mendiamkan diri sejak sekian lama.

Tetapi sejak kebelakangan ini hati saya mula terpaut dengan seorang wanita dan berhasrat untuk menyuntingnya sebagai isteri. Saya ingin bertanya antara keperluan dan kehendak.

Sebagai suami saya mahu zuriat sendiri dan pilihan yang ada cuma berpoligami. Pada isteri pula dia berpandangan mengambil anak angkat adalah jalan alternatifnya berbanding bermadu.

Saya nak tanya ustaz,dalam agama apa diutamakan terlebih dahulu antara cadangan isteri mengambil anak angkat atau memenuhi kehendak saya untuk mengamalkan poligami yang dibenarkan dalam agama?

SUAMI BUNTU, Alam Damai,Cheras

JAWAPAN:

Mengenai persoalan ini, bagi saya saudara hendaklah menilai banyak perkara serta tidak terburu-buru membuat sesuatu kesimpulan atau keputusan.

Pertama sekali apabila isu ini timbul, langkah yang terbaik yang boleh saudara dan isteri lakukan adalah membuat semakan di hospital mengenai isu ini. Adakah isu ini berkait permasalahan salah satu pihak atau kedua-duanya atau boleh jadi ianya berkait berkenaan hal rezeki yang merupakan rahsia Allah SWT.

Jika memang saudara dan isteri benar tidak menghadapi sebarang permasalahan maka pohonlah kepada Allah SWT seperti mana berdoanya Nabi Zakaria AS dan isterinya ketika mana masih lagi belum dikurniakan zuriat.

Namun jika benar ianya berkait salah satu pihak iaitu pihak isteri maka saudara berada diantara dua persimpangan jika saudara terus inginkan zuriat iaitu samada mengambil anak angkat atau berkahwin lagi (poligami).

Kedua-dua perkara ini diiktiraf serta diterima dari sudut syarak. Rasulullah SAW sendiri mempunyai anak angkat iaitu Zaid bin Harithah RA yang dijaga oleh Baginda SAW sejak kecil serta Baginda juga berkahwin lebih daripada seorang isteri. Ini menjadi hujjah bahawa kedua amalan ini diterima pakai di dalam syarak.

Cuma pada kedua perkara tersebut ada garis panduan syarak yang perlu dipatuhi supaya akhirnya kita tidak terjerumus ke dalam tindakan yang berdosa tanpa kita sedari.

Pertama berkait berkenaan poligami, ianya dibenarkan oleh Islam tetapi dengan syarat lelaki tersebut hendaklah berlaku adil dalam tindakan tersebut.

Adil pada erti pakaian, tempat tinggal, pembahagian malam dan banyak perkara lagi. Jika adil dalam poligami ini tidak ditegakkan maka disisi Allah SWT dia telah melakukan suatu maksiat serta kezaliman terhadap manusia lain.

“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah.” (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

Kedua, berkait anak angkat, Islam membenarkannya namun dengan syarat anak tersebut tidak dibinkan kepada bapa angkat tersebut. Anak tersebut hendaklah terus disandarkan kepada bapa asal mereka tetapi jika tidak diketahui ia hendaklah disandarkan kepada gelaran seperti Abdullah.

Hukum asal anak angkat juga tidak mempunyai sebarang hubungan mahram bermaksud tiada pewarisan serta jika anak angkat itu perempuan maka dia hendaklah menutup auratnya kepada bapa angkat tersebut.

Namun ianya dapat diselesaikan dengan menjadikan anak tersebut sebagai anak susuan iaitu dengan penyusuan tiga kali kenyang oleh isteri saudara serta dengan syarat anak tersebut hendaklah belum mencapai umur 2 tahun.

“Diharamkan kerana pengusuan sama seperti orang-orang yang diharamkan kerana Nasab” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Penyusuan tersebut hendaklah dilakukan oleh isteri dan bukan pihak lain. Ini kerana apabila penyusuan itu dilakukan contohnya oleh kakak kepada isteri maka bapa kepada anak angkat tersebut tidak akan menjadi mahram kepada anak itu.

Akhirnya mana-mana pun keputusan yang saudara akan ambil, ia hendaklah dinilai secara serius serta dengan perbincangan yang harmoni dengan semua pihak. Letaklah kebahagian serta redha Allah itu sebagai nilaian terutama dalam membuat keputusan. Tiada guna

berpoligami jika tidak mampu bersifat adil atau mengambil anak angkat dengan melanggar batas syariat kerana kelak ia akan menjadi fitnah di akhirat nanti.

Zuriat ini adalah rezeki yang menjadi antara rahsia-rahsia Allah SWT, jika saudara berkahwin lain pun ianya tidak menjamin saudara akan mendapat zuriat.

Bagitu juga boleh jadi secara logik akal manusia saudara dan isteri tidak akan mendapat anak namun disisi Allah SWT tiada perkara yang mustahil seperti yang dilihat dalam kisah isteri Nabi Zakaria yang mengandungkan anak sedangkan dia adalah seorang yang mandul.

“Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?

(8) Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.” (Surah Maryam ayat 8-9).