MINGGU yang baru lalu menjadi batu-tanda genapnya 100 hari semenjak Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan di negara ini pada April 1, 2015.

Walaupun telah lebih tiga bulan dilaksanakan, namun kebanyakan pembeli-pengguna dan pemilik perniagaan masih lagi keliru mengenai perkiraan dan perakaunan GST.

Soalan-soalan asas yang seringkali kita dengar ialah; barangan apa yang sebenarnya dikenakan GST? Kenapa tidak semua barangan dikenakan GST? Perniagaan jenis apa yang berhak mengenakan GST ke atas pembeli-pengguna?

Yang pastinya, pengalaman yang sedang dilalui oleh golongan pembayar cukai sejak kebelakangan ini, rata-rata menggambarkan bagaimana GST tidak banyak membantu dalam kekangan kewangan yang ditempuhi saban hari.

Walaupun Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) sering memberi jaminan bahawa harga barangan dan perkhidmatan tidak akan melambung tanpa kawalan, tetapi realitinya amat berbeza.

Dalam pembentangan belanjawan pada Oktober tahun lepas, diberitakan bahawa barangan dan perkhidmatan seperti keluaran pertanian; sayur-sayuran, keperluan asas seperti minyak masak, tepung dan garam; daging, telur; petrol RON95, disel dan LPG tidak akan dikenakan GST.

Namun, disebaban GST dikenakan di setiap peringkat pengeluaran dan pemprosesan barangan – daripada pengeluar bahan mentah, pengilang, pemborong dan peruncit (yang mana semuanya dibenarkan memohon pengembalian cukai) – penggunalah yang akhirnya akan menanggung sepenuhnya beban cukai yang baharu ini.

Siapalah yang mampu dan boleh memastikan pengembalian cukai yang diberi kepada pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit ini akan dipanjangkan semula kepada pengguna dalam bentuk penjimatan harga jualan atau diskaun?

Atau dibiarkan sahaja harga yang tertera agar keuntungan yang lebih, boleh dikaut.

Walaupun ada sesetengah pemborong dan peruncit dalam industri perniagaan yang mendabik dada bahawa mereka sanggup mananggung kos GST bagi meringankan beban pelanggan mereka, tetapi sebaliknya ada yang masih menjual barangan pada harga sebelum GST, iaitu semasa Cukai Jualan & Perkhidmatan sebanyak 10 peratus dikenakan.

Akhirnya, pembeli-pengguna membeli pada harga yang lebih tinggi dengan membayar beza lebihan cukai sebanyak 4 peratus.

Apa yang ketara kepada pembayar cukai ketika ini ialah kurangnya promosi yang menyeluruh, penerangan asas, penjelasan kekeliruan dan pemantauan pelaksanaan GST ke seluruh negara.

Sehingga adakalanya persoalan yang diajukan dan pencerahan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkaitan tidak berjawab – sebabnya, anggota-anggota pihak berkuasa ini sendiri masih keliru mengenai GST.

Selain daripada pengguna, pemilik perniagaan juga terkesan dengan impak GST.

Bukan sahaja terpaksa mengenakan kos tambahan sebanyak 6 peratus GST ke atas barangan jualan atau perkhidmatan mereka, kos kenaikan harga petrol turut memberi impak terus kepada kos pengangkutan dan penghantaran, dan ini memberi kerugian dan kemerosotan bilangan pelanggan kepada pemilik perniagaan.

Ada juga pemilik perniagaan yang terpaksa ‘tutup kedai’ atau berubah ke jenis perniagaan dan perkhidmatan yang lain.

Dan persoalan mutakhir yang perlu diajukan terus kepada kerajaan – yang telah berjanji akan berlaku adil dan telus dalam pengurusan perbelanjaan negara, lebih-lebih lagi apabila sumbernya daripada pungutan GST — antaranya:

1) Berapakah jumlah GST yang telah dikutip dalam tiga bulan semenjak ianya dilaksanakan pada April 1, 2015?

2) Kemanakah hasil kutipan GST dibelanjakan setakat ini?

3) Tidak bolehkah hasil kutipan GST ini dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan subsidi?

4) Bukankah duit sumbangan rakyat ini ‘sebenar-benarnya’ untuk kemudahan masa depan rakyat?

Sama-samalah kita berharap, dengan terlaksananya GST sebagai sumber pendapatan yang baharu untuk kerajaan, kita tidak akan membaca laporan tentang ketirisan dalam pembelanjaan hasil kutipannya daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun hadapan.

Sekiranya ini berlaku, maka sebanyak mana pun kadar GST yang dikenakan, rakyat Malaysia akan terus menanggung beban hutang yang disebabkan oleh pentadbiran dan pengurusan kewangan negara yang tidak cekap dan telus… wallahualam.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan diatas adalah pendapat, pandangan dan hasil penyelidikan penulis.