REALITI hari ini UMNO perlu mentransformasikan dirinya sebagai parti masa depan dan bukannya kekal sebagai parti masa silam.

Ertinya, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami semangat zaman. Dalam istilah sosiologi Jerman ialah “zeitgeist”.

Berdasarkan pengertian istilah itu, setiap ahli UMNO mestilah tahu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan tidak lagi boleh bernostalgia dengan masa silam, walaupun masa silam itu telah memunculkan era kegemilangannya.

Seorang pakar motivasi terkenal Zig Ziglar pernah berkata, orang tidak lagi kagum dengan seseorang yang mampu menjual sejuta unit dalam tempoh yang singkat pada suatu masa kalau orang itu tidak mampu mengatasi masalah semasa yang dihadapinya (baca Zig Ziglar, See You At The Top, 1975).

Begitu juga dengan UMNO.

Untuk menjadi sebuah parti politik yang terus relevan dan kekal untuk tempoh yang lebih panjang, setiap ahlinya perlu melakukan transformasi.

Masanya sudah dianggap suntuk, kerana untuk tempoh lima tahun akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sokongan golongan muda tetap menjadi sesuatu yang amat kritikal dan pada ketika itu, mereka dijangka membentuk lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.

Inilah sebenarnya yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh setiap ahli UMNO seandainya mahu mengekalkan kedudukan sebagai parti yang dominan pada masa depan.

UMNO juga harus belajar daripada kesilapan sejarah, seperti mana yang disifatkan secara sinisnya oleh mantan presidennya Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa UMNO adalah sebuah parti yang sudah tua, yang mungkin akan lenyap pada bila-bila masa sekiranya proses peremajaan tidak berlaku dengan berkesan.

Pemimpin dan seluruh ahli UMNO perlu meneliti secara serius sejarah kegemilangan Islam di Andalusia, yang walaupun pernah menjadi sebuah kerajaan yang berpengaruh dan kuat selama hampir 800 tahun, akhirnya tumbang dengan mudah dibelasah oleh ketumbukan soldadu Kristian.

Analisis yang dibuat oleh seorang pakar sejarah berdasarkan sumber berbahasa Arab, Prof Dr Raghib as-Sirjani, berjudul Bangkit dan Runtuhnya Andalusia: Jejak Kejayaan Peradaban Islam di Sepanyol (edisi terjemahan bahasa Indonesia, 2013) begitu menarik untuk dijadikan teladan.

Ini kerana beliau menyulaminya dengan apa yang telah digambarkan oleh Allah SWT dalam wahyu-Nya terhadap hakikat manusia apabila lupa diri ketika di puncak kuasa.

UMNO juga masih belum mampu menyingkirkan zon selesa sebahagian daripada pemimpinnya, yang bermati-matian mahu mempertahankan kedudukannya walaupun secara realitinya sudah tidak lagi boleh diterima oleh sebahagian besar ahlinya.

Tetapi, kelangsungan kuasanya hanya bergantung kepada keupayaan aset yang dimiliki secara peribadi, dan aset itulah juga digunakan untuk ‘membeli sokongan.’

Biarpun berkali-kali seruan ke atas pembanterasan ‘politik wang’ diperkatakan, UMNO sebenarnya belum mampu menghapuskan sepenuhnya kerana masih lagi ahli dan pemimpin yang melakukannya secara tersembunyi.

Persoalan tidak meletakkan ilmu di atas segala-galanya itulah juga menyebabkan mutiara keagungan Islam pada zaman silam mudah dihancurkan, kerana musuh-musuh Islam mencari kelemahan berdasarkan kerangka ilmu yang dibina berdasarkan semangat dan nilai mereka.

Itulah sebabnya, apabila hak dan kebebasan sudah dijadikan falsafah perjuangan, maka di situlah pula akan menjadikan nilai agama semakin berantakan, atau dianggap terlalu berkiblatkan dunia.

Itulah sebenarnya yang terkandung dalam konsep semangat zaman atau zeitgeist, yang boleh dianggap sebagai trendy atau popular, tetapi tidak disusuli dengan nilai-nilai agama, moral dan budaya.

Andalusia yang mula didirikan sekitar tahun 711 oleh Tariq bin Ziyad, cukup banyak menyumbangkan proses peradaban tinggi sehingga melahirkan ramai pelopor dunia keintelektualan Islam yang bukan sahaja bersifat semasa, bahkan mendahulu zaman.

Bagaimanapun, setiap daripada mereka mempunyai tahap keimanan yang tinggi, kerana mereka bermula dengan memahami isi kandungan al-Quran, dan bukannya sebahagian daripada peradaban moden, lebih menguasai ilmu pengetahuan tetapi gagal menguasai kandungan al-Quran.

Nama-nama besar seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu al-Khatib, Ibu al-Firnas, Ibnu Khaldun dan Ibnu Batutah lahir semasa kegemilangan empayar Islam di Andalusia.

Setelah empayar Islam itu jatuh, dan diperintah oleh Ratu Isabella dan Raja Ferdinand bermula 6 Januari 1492, jumlah penduduk Islam menjadi semakin mengecil dan kini dianggap sebagai kumpulan marginal.

Kenapakah perkara itu berlaku?

Puncanya kerana kegagalan umat Islam sendiri untuk membina benteng dan kekuatan ummah semasa berkuasa, lebih mengutamakan kepentingan material.

Pada tahun 1609, Raja Philips III yang memerintah ketika itu telah menguatkuasakan satu Titah Perintah Diraja dengan memberi kata putus kepada pemeluk Islam (dianggarkan berjumlah 350,000 orang), sama ada bersedia menerima pembersihan etnik dan dihalau keluar dari Sepanyol atau menukarkan agama kepada Kristian.

Mereka yang enggan menukarkan agama dibunuh dan disiksa manakala wanita pula dirogol.

Itulah hakikat yang wajar menjadi daya bertindak UMNO kalau tidak mahukan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia menerima nasib yang sama sebagaimana terjadinya ke atas umat Islam di Sepanyol selepas ratusan tahun ditewaskan oleh pemerintahan Kristian.

UMNO tidak perlu tunduk kepada tekanan agar melaksanakan perubahan yang lebih besar sehingga menodai orang Melayu dan Islam semata-mata ingin meraih sokongan bukan Islam, kerana sejarah membuktikan setelah kedudukan mereka semakin kuat, mereka akan mengancam orang yang pernah memberikan mereka peluang.

Sejarah kejatuhan Islam di Andalusia sepatutnya dijadikan amaran awal yang besar kepada UMNO kalau mahu melihat parti itu benar-benar berjaya melakarkan peradaban besar pada masa depan dan meneruskan kelangsungannya.

Ingatlah, fakta sejarah akibat kerakusan memikirkan kuasa menyebabkan rakyat mula meluat dan bakal mencari jalan bagaimana menjatuhkan orang yang berkuasa.

Itulah fenomena sejarah yang berlaku dalam hampir semua peradaban, dan UMNO hari ini, tidak wajar menggunakan keagungan masa silamnya sebagai doktrin membalas budi, kerana lebih ramai yang mahu melihat hasilnya daripada membaca sejarah.

Penulis adalah Setiausaha Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia