KUALA LUMPUR, 6 Mei : 

Didatangkan dalam dua varian, EX5 Dream FI ditawarkan pada harga bermula RM4,299 seunit.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa kapcai Honda EX-5 sebenarnya sudah boleh dianggap sebagai lagenda. Sudah berada di pasaran tempatan lebih 25 tahun, Honda EX5 cukup dikenali sebagai sebuah motosikal yang tahan lasak, menjimatkan bahan api dan kurang masalah.

Mekanikalnya ringkas, membuatkan mana-mana kedai motosikal boleh membaikinya tanpa masalah. Nilai jualan semula yang bagus turut melonjakkan lagi populariti Honda EX5.

Pada Julai 2013, pengedar motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda ada memperkenalkan model EX5 baharu. Dikenali sebagai EX5 Dream 110, ia bertindak selaku pengganti kepada model EX5 yang sudah sekian lama berada di pasaran.

Sama ada kita sedar atau tidak, lambakan model motosikal bersesaran kecil membuatkan pasaran menjadi tepu. Keadaan itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Koji Onishi. Jadi, untuk dapat terus bersaing di pasaran, produk baharu dengan teknologi lebih baik amat diperlukan.

“Sebab itulah kami melancarkan Honda Dream EX5 FI yang telah ditambah baik daripada model EX5 Dream 110 ini. Harus tahu bahawa semua penambahbaikan ini dibuat berdasarkan kepada maklum balas pengguna dan khas untuk pasaran Malaysia,” jelas Onishi.

Dilengkapi teknologi PGM-FI (model cub pertama dalam kelasnya dipasang teknologi ini), Honda EX5 Dream FI kini lebih berprestasi dan  menjimatkan. Menggunakan  teknik kawalan elektronik, sistem pancitan bahan api (FI) tersebut membolehkan enjin hanya memerlukan nisbah udara-bahan api yang minimum.

TRP - Honda EX5 Dream FI (5)
Menggunakan teknik kawalan elektronik, sistem pancitan bahan api (FI) tersebut membolehkan enjin hanya memerlukan nisbah udara-bahan api yang minimum.

Hasilnya, enjin dapat menawarkan prestasi yang mesra alam dan kualiti tunggangan lebih baik. Sedia maklum bahawa sistem FI biasanya digunakan pada motosikal dengan enjin berkapasiti lebih besar untuk kawalan yang lebih efektif.

Dengan semua kelebihan ini, Honda mendakwa jentera kecil itu mampu mencatat penggunaan bahan api sehingga 58.3 kilometer untuk setiap liter petrol. Tangki minyaknya juga lebih besar, berkapasiti 4.3L, pasti memudahkan penunggang untuk mengharung perjalanan yang lebih jauh, tanpa perlu kerap mengisi petrol.

“Teknologi PGM-FI berupaya meningkatkan kuasa serta menjimatkan penggunaan petrol. Maka menunggang di lebuh raya dan jalan biasa pastinya akan menjadi lebih lancar,”  tambah Onishi lagi.

TRP - Honda EX5 Dream FI (6)
EX5 ini juga memiliki penampilan yang sporty dan moden.

Selain mengekalkan ciri-ciri seperti kualiti, praktikaliti serta bernilai untuk wang, generasi terkini siri EX5 itu juga memiliki penampilan yang sporty dan moden. Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi rekaan bahagian lampu utama dan logo berwarna krom.

Pada bahagian sisi, penutup peredam berwarna krom itu bukan sahaja kelihatan menarik, malah ia turut bertindak sebagai pelindung kepada pembonceng.

TRP - Honda EX5 Dream FI (2)
Ciri-ciri keselamatan pada model EX5 Dream FI terserlah pada rekaan yang mengasingkan lampu belakang dan lampu isyarat.

Ciri-ciri keselamatan pada model EX5 Dream FI terserlah pada rekaan yang mengasingkan lampu belakang dan lampu isyarat. Ia membolehkan kenderaan lain dari arah belakang melihat penunggang EX5 Dream FI dengan lebih jelas.

Bagi memudahkan penunggang yang menunggang pada waktu malam dan di laluan gelap, panel meternya dilengkapi tolok serta penunjuk yang lebih senang dilihat.

TRP - Honda EX5 Dream FI (1)
Bagi memudahkan penunggang yang menunggang pada waktu malam dan di laluan gelap, panel meternya dilengkapi tolok serta penunjuk yang lebih senang dilihat.

Jika berminat, EX5 Dream FI ditawarkan pada harga RM4,299 dan RM4,599 seunit (dengan sistem penghidup elektrik). Harga itu bagaimanapun tidak termasuk kos di atas jalan dan GST.

Didatangkan dalam tiga warna iaitu merah, biru dan ungu metalik. EX5 Dream FI dibekalkan bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu), demi memberi ketenangan minda kepada pemiliknya.

Optimis dengan semua penambahbaikan ini, Boon Siew Honda meletakkan sasaran untuk menjual lebih 37,000 unit EX5 Dream FI setahun.

Pernah menulis sebuah buku bertajuk Honda Civic: Ikon Produksi Massa bersama seorang rakannya, AHMAD SYUKRAN juga merupakan editor/pengasas laman web pemotoran berbahasa Melayu: www.mekanika.com.my