“HATINYA pernah berdetik satu hari nanti, rakannya sendiri bakal bergelar madu dan selepas 16 tahun berlalu, telahannya menjadi realiti apabila mereka berkongsi kasih dengan lelaki yang sama….Sumaiyah Sulaiman, 41 meminang rakannya sendiri untuk suaminya, Abdul Rashid Zainal, 4o atas dasar ingin berkongsi kebahagiaan memandangkan teman sekolahnya itu lambat bertemu jodoh dengan lelaki pilihan,” petikan dari laporan Harian Metro, 7 Februari 2015.

Seorang lelaki dibenarkan berkahwin dengan lebih seorang wanita, tetapi wanita hanya boleh berkahwin dengan seorang lelaki dalam sesuatu masa.

Peraturan ini merupakan kaedah Islam bagi menyusun dan mengatur kehidupan keluarga, yang semakin menjadi pertentangan pendirian oleh banyak pihak, termasuk dalam kalangan wanita Islam sendiri.

Dua tahun lalu, terdapat satu laporan akhbar mengenai seorang isteri sanggup memotong kemaluan suaminya sendiri apabila mendapat tahu dirinya bakal dimadukan.

Insiden yang berlaku di Kelantan itu menggemparkan masyarakat.

Beberapa hari lalu terdapat satu lagi laporan mengenai seorang wanita di China yang juga memotong kemaluan suami sebanyak dua kali dan membuangnya kerana suami dikatakan akan berkahwin seorang lagi.

Kes di Kelantan, suami masih beruntung kerana bahagian yang dipotong berjaya ditemukan dan disambungkan oleh para doktor.

Ertinya, suami berkenaan mampu menjalani fungsi kelelakiannya sebagaimana dilaporkan oleh doktor selepas berjaya disambungkan dan pulih sepenuhnya.

Kisah lelaki di China yang dipotong kemaluannya terpaksa menderita sepanjang hayat kerana bahagian yang dipotong itu tidak ditemui setelah beberapa hari tragedi itu berlalu.

Lelaki Cina berkenaan terpaksa menjalani kehidupan “kembiri seks” sepanjang hayat.

Poligami bukanlah sesatu yang baharu dalam kehidupan berkeluarga antara lelaki dan wanita dalam sebuah perkahwinan yang sah.

Kisah wanita yang menentang poligami pernah berlaku dalam sejarah Greek sehingga sekumpulan wanita sangggup mengasingkan diri daripada lelaki dan menetap di sebuah pulau.

Pulau berkenaan hanya dihuni oleh semua wanita sehingga kehidupan seks mereka dikenali dengan lesbian, seks sesama wanita.

Sebelum kedatangan Islam, cerita poligami tanpa had pernah berlaku dalam beberapa masyarakat sehingga ada lelaki mempunyai lebih seratus orang isteri dalam sesuatu masa.

Lebih menyedihkan ialah akibat poligami yang keterlaluan, seorang suami kadangkala sukar untuk mengingati kesemua anak-anaknya.

Dalam masyarakat Kristian mazhab Mormon, seorang lelaki turut dibenarkan berkahwin dengan beberapa orang wanita selagi lelaki berkenaan mempunyai keupayaan.

Islam menetapkan seorang lelaki boleh berkahwin dengan empat orang wanita dalam sesuatu masa dan akibatnya, golongan yang menentangnya melihat poligami dalam Islam dengan wajah yang hodoh dan bersifat gilakan seks.

Salah anggapan itu bukan sahaja berlaku pada masa sekarang, bahkan kritikan dan ejekan mengenai poligami Nabi Muhammad SAW yang berkahwin dengan lebih 10 orang wanita turut dibebankan dengan dakwaan yang sama.

Atas perjuangan feminisme, seorang lelaki yang berkahwin dengan lebih seorang wanita, lelaki berkenaan disifatkan sebagai “gila seks.”

Akibatnya, aliran pemikiran tersebut berusaha untuk mengekang amalan poligami dengan melancarkan kempen seorang wanita untuk seorang lelaki tanpa melihat apa sebenarnya faktor yang boleh dibenarkan oleh seseorang lelaki untuk berpologami selain dakwaan “gila seks”.

Bagi sesetengah kaum wanita mereka mungkin menentang poligami kerana mereka tidak memahami istilah akad nikah sebagai (perjanjian kontrak) yang bukan maksud lelaki dan perempuan itu milik mereka.

Apabila ia berupa kontrak (ikatan perjanjian) ini bermakna lelaki tersebut boleh membuat kontrak atau akad nikah dengan perempuan lain apabila memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Islam.

Sebuah perkahwinan adalah sebuah kehidupan yang diasaskan dengan kasih sayang, dan seks antara suami dan isteri adalah kemuncak kasih sayang pada peringkat awal perkahwinan.

Seks bukan lagi menjadi penentu apabila perkahwinan itu mencapai usia yang berkekalan, kerana kasih sayang beralih kepada saling memahami dan melengkapi kerana manusia adalah makhluk yang sukar hidup berseorangan.

Manusia merasa sunyi dan kurang bermakna jika tinggal sebatang kara, manusia memerlukan rakan dan teman untuk melaksanakan fungsi sosial dan keperluan psikologi.

Apabila Sumaiyah sanggup meminang rakan sekolahnya sendiri untuk dijadikan madunya, atas alasan “saling melengkapi”, ia adalah suatu pengorbanan yang wajar dilihat secara saksama oleh wanita yang berhadapan dengan kesukaran memperoleh jodoh.

Secara fitrahnya, seorang wanita berkeadaan selamat untuk melahirkan zuriat pertama sebelum usianya melangkaui 35 tahun.

Selepas usia tersebut, wanita mempunyai risiko kehamilan dan melahirkan zuriat, jika kehamilan itu adalah kali pertama.

Secara bermaruahnya ialah wanita perlukan seorang suami setelah usia semakin meningkat bagi mempertahankan fungsi sosialnya kerana kedua orang tua tidak lagi mampu menjadi “pengawal”.

Disebabkan usia kian meningkat, kedua orang tua hanya mampu menjadi penasihat sedangkan secara fisiologinya, seorang anak gadis mempunyai keinginan diberikan perhatian dan disayangi oleh seorang lelaki.

Dalam situasi bilangan perempuan melebihi lelaki, perkongsian kasih menjadi kaedah yang boleh dijadikan alasan sebagaimana kisah Sumaiyah, yang inginkan rakan baiknya mempunyai jodoh seorang lelaki pilihan.

Setelah hidup bersama Abd Rashid Zainal, 40, selama 16 tahun, Sumaiyah merasa amat bahagia dan kebahagiaan itu hendak dikongsikan pula dengan rakan baiknya, yang sukar mendapat “Mr Right”.

Itulah sebuah pengorbanan dan perkongsian yang sepatutnya berlaku dalam kalangan wanita, bukannya saling bercakaran apabila mendengar suami akan berkahwin lain.

Sebagai seorang wanita, perlu mengakui hakikat bahawa dirinya mempunyai banyak kekurangan yang kadangkala sukar memenuhi ekspektasi seorang suami.

Mungkin dengan suami mengahwini seorang lagi wanita, kekurangan tersebut mampu diatasi, yang akhirnya boleh membawa kebahagiaan bersama sebagaimana kisah Sumaiyah, boleh hidup sebumbung dengan madu dan wanita yang dipilihnya sendiri sebagai isteri kedua kepada suami.

Cerita Sumaiyah itu membawa banyak pengajaran kepada ramai wanita yang tidak menyukai poligami, dan seterusnya melihat semula tanggapan mereka mengenai amalan yang dibenarkan oleh Islam.

Allah SWT juga mengingatkan manusia, bahawa kehidupan menjadi lebih bermakna apabila diatur dan disusun berdasarkan nilai moral.

Sebagai agama yang diturunkan untuk mengatur akhlak manusia, al-Qur’an mengajar kita bahawa poligami bukanlah suatu tindakan yang jijik, kotor dan zalim, ia adalah kaedah untuk mengatasi dosa sosial masyarakat, iaitu kejahatan.

Kisah Sumaiyah boleh memberikan pengajaran berguna buat wanita dan juga ikhtibar oleh seorang suami agar memahami bahawa keadilan itu berlangsung secara harmoni apabila mereka saling memahami tanggungjawab masing-masing, saling melengkapi dan tidak melanggar makna kasih sayang.

Kebahagiaan keluarga Sumaiyah, berkongsi suami hidup sebumbung merupakan teladan yang wajar dipelajari oleh setiap keluarga yang mengamalkan poligami, kerana poligami tidak sekotor dan sekejam yang digambarkan oleh golongan feminis dan lelaki yang bertuhankan seks.

Jika poligami itu boleh memberikan jalan ke arah penyelesaian keghairahan nafsu kaum lelaki tanpa menyebabkan wabak zina, maknanya ia telah membentuk perlakuan seks yang sihat.

Apakah kita harus menyempitkan pandangan mengenainya sehingga gejala perzinaan menjadi berleluasa sekarang ini?

Bagaimana untuk melahirkan generasi minda kelas pertama yang menjadi idaman negara kalau ia lahir dari genetik dan benih yang kotor dan jahat.

Sebaliknya benih yang baik itulah yang dapat melahirkan generasi yang baik dan berapa ramai kaum wanita yang mempunyai genetik atau benih yang baik dan subur terbiar begitu sahaja kalau tanpa ada kemudahan atau laluan untuk berpoligami sebagaimana yang dibenarkan oleh agama.

Kita tidak mahu manusia yang akan lahir nanti ialah manusia yang liar dan sukar dididik.

Islam itu bersih.

Apa pun alasannya, poligami merupakan alternatif yang dapat menghindari daripada berlakunya kejahatan.

Sehubungan ini Allah mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Biasanya) wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat itu untuk wanita yang jahat (begitu juga sebaliknya) wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik-baik.” (surah an-Nur ayat 26).

Penulis adalah Setiausaha Analisa Dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).