SIAPA orang yang mula-mula mencipta kereta?

Soalan ini sebenarnya sukar dijawab dengan tepat tetapi sekiranya kita mahu memberi penghargaan kepada seorang pencipta kereta, saya rasa ia mungkin sesuai diberi kepada Karl Benz yang berasal dari Jerman kerana ramai yang mencadangkan bahawa beliau adalah pencipta kereta yang sebenar pada 1885/1886.

Minat saya pada kereta bermula sejak kecil ketika bapa saya, waktu itu baru memulakan kerjaya sebagai seorang guru ekonomi di sebuah sekolah menengah kebangsaan, bercerita bagaimana dia membeli kereta pertamanya dahulu, iaitu sebuah Volkswagon (VW) Beetle.

Hampir lima dekad lalu, ketika berkahwin dengan ibu saya pada 1969, bapa mentuanya telah membantu membelikan kereta berkenaan supaya ibu lebih mudah dan selamat untuk dibawa kemana-mana.

Menurut bapa saya, harga VW yang dibelinya hanya dalam sekitar M$6,000. Ya, ketika itu simbol RM belum lagi dicipta, dan matawang negara dikenali sebagai Malaysian Ringgit, dengan simbol M$, atau MYR – dan nilainya lebih tinggi berbanding dengan Singapore dollar (S$).

Sejak diperkenalkan kepada kenderaan beroda empat, dan setelah menjual skuter Vespa kesayangannya, bapa beberapa kali bertukar kereta, kebanyakannya jenis Continental; antaranya Volvo, Fiat, Alfa dan Opel – yang mana semuanya dibeli dengan gaji seorang guru, dan sebelum kereta buatan nasional, Proton Saga, pertama kali diperkenalkan kepada rakyat Malaysia pada 1985.

Setelah saya tamat belajar di sebuah sekolah berasrama penuh dan kemudiannya mendapat lesen memandu pada 1988, bapa membelikan sebuah kereta Honda Civic untuk kegunaan saya di kolej selama dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya berpeluang berkongsi kegemaran bapa saya untuk mencuba beberapa kereta keluaran syarikat Jepun, antaranya Mitsubishi Lancer, Honda Accord dan Toyota Corona.

Namun, kereta terakhir saya sebelum berlepas ke AS pada tahun 1990 ialah sebuah Mini Clubman.

Lebih kurang lima tahun lalu, apabila adik saya memulakan kerjayanya, sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah kolej berasrama penuh, kereta pertama yang mampu dibelinya hanyalah sebuah kereta terpakai buatan tempatan.

Keadaan ini membuatkan saya terfikir betapa besarnya jurang perbezaan taraf hidup dan kuasa-beli rakyat Malaysia setelah negara berubah daripada sebuah negara berasaskan pertanian dan pengeluaran komoditi setelah merdeka, kepada sebuah negara perkilangan, termasuk perindustrian permotoran, dalam tempoh tiga dekad kebelakangan ini.

Kini, setelah genap 30 tahun kereta buatan nasional dikeluarkan, kereta-kereta baru berjenama buatan Jepun dan benua Eropah semakin jauh berada di luar kemampuan rakyat Malaysia, kecuali dengan membayar duit muka yang besar dan berhutang dengan syarikat kewangan dan institusi perbankan sehingga sembilan tahun lamanya.

Semasa saya berada di AS sekitar awal hingga pertengahan 1990-an, kereta jenama Hyundai keluaran Korea Selatan, baru sahaja menembusi pasaran benua tersebut, disebabkan taraf pengujian keselamatan kenderaan AS yang agak tinggi.

Setelah dua dekad, jenama kereta Hyundai, dan ‘adiknya’, Kia, telah melalui banyak perubahan dari segi rekabentuk, kekuatan jentera, ciri-ciri keselamatan dan keselesaan, sehinggakan pada masa kini kedua-dua jenama tersebut diterima pakai di kebanyakan negara dunia, termasuklah berjaya menembusi pasaran benua Eropah dan Amerika Utara.

Berbeza pula dengan kereta buatan tempatan kita, yang pada pendapat saya, masih lagi ketinggalan dalam usahanya untuk menembusi pasaran dunia. Ia hanya kelihatan dijalan raya sekitar Malaysia serta negara-negara jiran, seperti Singapura, Brunei dan Indonesia, walaupun pada dasarnya dilahirkan pada dekad yang sama dengan pengeluaran dari Korea Selatan.

Syarikat pengeluar, yang telah melalui beberapa pertukaran pengurusan dan hakmilik dalam usia mudanya, terpaksa berhempas pulas untuk terus mencatat keuntungan, sementara bahagian pasarannya saban tahun semakin mengecut kerana terpaksa bersaing dengan jenama-jenama lain yang banyak dan lama bertapak di Malaysia, termasuklah buatan China, akhir-akhir ini.

Dasar-dasar kerajaan berkenaan industri automotif yang kurang jelas juga telah menyebabkan negara kita ketinggalan dalam meraih peluang keemasan untuk menjadi hub pemasangan kenderaan untuk pasaran serantau, sehingga kalah kepada negara jiran, Thailand, yang masyhur dengan gelaran “Detroit of the East” – dengan pemasangan dan pengeluaran sekitar 2.45 juta buah kenderaan, yang mana 1 juta daripadanya dieksport. Malah, Thailand adalah negara ketujuh terbesar dunia sebagai pengekspot kenderaan.

Namun demikian, mungkin peluang untuk maju ke hadapan masih terbuka, lebih-lebih lagi apabila diuar-uarkan bahawa Indonesia bakal menggantikan Thailand sebagai pemasang dan pengeluar terbesar di rantau ini. Apatah lagi, dengan pasaran kepada jumlah penduduk yang melebihi 250 juta di republik tersebut dan lebih 633 juta di rantau Asean.

Dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat perusahaan automotif Indonesia, PT Adiperkasa Citra Lestari, pada minggu lepas, mungkin kita akan melihat perubahan yang lebih mendadak dari segi mutu dan kualiti pengeluaran kereta nasional – untuk menjaga maruah negara dan membuktikan bahawa Malaysia mampu membantu negara jiran untuk mengeluarkan kereta tempatan mereka dan seterusnya, menjadi pemangkin kepada cita-cita pembuatan kereta Asean menjadi kenyataan, seawal tahun 2020.

Pasaran kenderaan di rantau Asean dikatakan akan berkembang maju menjadi pasaran keenam terbesar dunia pada 2018, dengan permintaan sebanyak 4.7 juta kenderaan, tiga tahun lagi.

Diharapkan semoga syarikat pengeluar kereta tempatan akan mengambil iktibar atas kesilapan masa lalu dan merebut peluang ini untuk memperbaiki prestasi dan kualiti kenderaan jenama mereka, lebih-lebih lagi dalam pasaran tempatan yang mana kami telah menyokong, sama ada secara sukarela atau terpaksa, sepanjang 30 tahun ini. Wallahu a’lam.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan diatas adalah pendapat, pandangan & pengalaman penulis.