SEJAK bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur gaya kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjawat jawatan berkenaan, begitu ramai pula yang berminat untuk menilainya sebagai sesuatu yang berbaur krisis.

Tentunya, harapan mereka yang membawa nilai tersebut bukan sekadar bersengkongkol untuk menjatuhkan Najib dan jika dilihat secara lebih mendalam, ia adalah satu usaha untuk meruntuhkan UMNO dari dalam.

Kalau PAS sedang mengalami pereputan idealisme perjuangan dengan tertubuhnya PasMa, maka resapan kimia yang boleh mereputkan UMNO seakan-akan sedang berlaku sekiranya tidak berhati-hati dengan permainan politik pihak tertentu.

Kata-kata amaran sudah diberikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Awang, terhadap ahlinya yang mahu menolak kepimpinan ulama, termasuk menamatkan perkhidmatan beberapa orang yang kakitangan penerbitan lidah rasmi parti itu, Harakah.

Kini, mereka yang tidak sabar untuk berkuasa dipersilakan oleh beliau untuk meninggalkan PAS, mereka boleh masuk PKR, DAP dan jika lebih mahu cepat ke Putrajaya “boleh masuk UMNO”, katanya.

Mengenai usaha melaga-lagakan pemimpin UMNO, dengan perancangan halus menggunakan media turut menyebabkan parti yang mewakili orang Melayu terbesar mula merasai kesan bahaya “debu banjir” ekoran teguran bekas perdana menteri yang pada umumnya boleh dianggap sebagai nasihat.

Bagaimanapun, sebagai bekas perdana menteri yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir sepatutnya tidak menggunakan medan terbuka untuk mengkritik kepimpinan Najib sebagaimana beliau sendiri pernah mengenakan tindakan apabila beberapa langkahnya dikritik secara terbuka.

Masyarakat masih ingat, sewaktu menjadi perdana menteri, Dr Mahathir menggunakan pelbagai tindakan sehingga memaksa Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk “membelasah” Tun Ghafar Baba atas alasan, Anwar mempunyai kekuatan dan kemampuan yang lebih baik daripada pejuang UMNO veteran yang pernah beliau sendiri singkirkan daripada menganggotai kabinet.

Ramai juga penganalisis politik melihat, kecenderungan Dr Mahathir mengkritik pemimpin yang berada di puncak kuasa dan berusaha menyelesaikan beberapa kekusutan disebabkan persekitaran politik sudah banyak berubah, sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Bahkan di banyak negara lain, bekas pemimpin utama tidak lagi mencampuri persoalan politik pemimpin yang mengganti kemudiannya selepas bersara.

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) misalnya, Bill Clinton tidak menjadi pengkritik tajam ke atas dasar pentadbiran George Walker Bush walaupun beliau tidak pernah bersetuju dengan cara Bush membayar dendam dan menebus maruah ayahnya yang pernah tewas untuk merebut jawatan presiden bagi penggal kedua.

Bekas presiden AS sebelumnya, Jimmy Carter juga tidak mengkritik tajam perubahan dasar luar negeri peneraju Rumah Putih selepasnya, sebaliknya beliau berusaha terus untuk menjayakan American Dream.

Ia amat berlainan dengan Dr Mahathir yang suatu ketika pernah mencabar dan menyelar kepimpinan Tunku Abdul Rahman kerana “berlembut” dan seterusnya seperti “memaksa” Tun Hussein menyerahkan kuasa lebih awal dengan menggunakan alasan “kesihatan”.

Dr Mahathir pernah dianggap sebagai “ultra Melayu” tetapi selepas beberapa tahun berada dalam puncak kuasa, beliau mula menukarkan prinsip secara beransur-ansur dengan menyelar orang Melayu sebagai “mudah lupa” dan perlu dilepaskan “tongkat”.

Tetapi, Mahathir tangkas memintal impian untuk kekal berkuasa, dengan membiarkan UMNO berpecah pada tahun 1988 ekoran pembabitan beberapa perwakilan cawangan yang belum disahkan pendaftarannya mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987.

Apabila UMNO diharamkan melalui keputusan mahkamah, Mahathir memperoleh kekuatan baharu secara berangsur-ansur kerana berjaya “membunuh pengaruh kumpulan yang menentangnya dari dalam” yang menjadi serpihan dengan tertubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Bagaimanapun, Semangat 46 dibubarkan hanya selepas berjaya bekerjsama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tidak sampai dua penggal, kembali ke pangkuan UMNO.

Setelah Anwar dipecat daripada kabinet dan UMNO, Dr Mahathir masih mampu mempertahankan parti itu daripada hancur seperti pernah dibayangkan oleh beliau sendiri pada tahun 1982 mengenai sebuah parti politik terbesar di India yang akibat perebutan dari dalam parti berkenaan pecah dan beberapa pemimpinnya membentuk beberapa buah parti, yang kemudiannya saling bercakaran dan berbalah.

Sekurang-kurangnya, pada era Dr Mahathir, wujud dua buah parti terbesar hasil perpecahan orang Melayu, iaitu Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional (keADILan), yang kemudiannya diubah nama menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dr Mahathir masih merasakan apa yang pernah dilakukan sebagai percubaan terbaik, selepas UMNO diharamkan, Barisan Nasional (BN) masih mampu menguasai lebih dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat pada tahun 1990.

Hanya Kelantan berubah kepimpinan, kerana pengundi Kelantan lebih percayakan gabungan PAS dan Semangat 46 daripada UMNO sehingga berjaya menyingkirkan Tan Sri Muhamad Yaacob yang dianggap “belot” kerana tidak menyokong Tengku Razaleigh pada tahun 1987 ketika bertanding untuk merebut jawatan presiden UMNO.

Rentetan kekecewaan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan beliau mengkritik dan keluar daripada UMNO.

Pada tahun 2008, Dr Mahathir turut menyumbang kepada kemerosotan UMNO dan BN sehingga keputusan pilihan raya tersebut dilihat sebagai “tsunami politik”.

Andaian penganalisis politik, sebagai musim gerhana yang bakal menyebabkan berlakunya perubahan kepimpinan ekoran pengisytiharan bersejarah di Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada malam tamatnya larangan Anwar berpolitik.

Bila Najib diberi peluang menggantikan kepimpinan Abdullah yang dianggap oleh Dr Mahathir sebagai “lemah dan lembik” serta boleh mencederakan UMNO, Tan Sri Muhyiddin merupakan orang yang bertanggungjawab membawa balik bekas perdana menteri itu ke pangkuan parti.

Bila Najib menggantikan kepimpinan Abdullah, Tan Sri Muhyiddin bertanggungjawab membawa balik bekas perdana menteri itu ke pangkuan UMNO.
Bila Najib menggantikan kepimpinan Abdullah, Tan Sri Muhyiddin bertanggungjawab membawa balik bekas perdana menteri itu ke pangkuan UMNO. – Foto Antarapos

Selepas dipecat daripada UMNO oleh Tunku Abdul Rahman selepas menuduh kepimpinan Tunku tidak efisyen dan banyak menghabiskan masa bermesyuarat, enggan menerima pandangan akar umbi, Datuk Harun Idris menjadi perantara membawa masuk Dr Mahathir semula kepada UMNO pada zaman Tun Razak.

Maka kali ini, bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim sudah menawarkan diri untuk bertindak sebagai “orang tengah” bagi mendamaikan bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Shahidan mempunyai niat yang baik dan beliau percaya bahawa apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir mengenai kelemahan Najib adalah berpunca kurangnya komunikasi langsung dan tatap muka (face-to-face) antara mereka berdua, dalam situasi tegur menegur secara mesra.

Atas kekurangan itulah ramai pula melihat, Dr Mahathir dan Najib boleh dimesrakan, dan tentunya antara kedua pemimpin tersebut masih bias untuk bekerjasama memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Berdasarkan analisis kuantitatif, BN semasa dipimpin oleh Najib mengalami kemerosotan sokongan akibat kebijaksanaan Anwar mempengaruhi lebih ramai penyokong UMNO sehingga pakatan pembangkang terus mendakwa, merekalah sebenarnya lebih berhak berkuasa kerana memperoleh sokongan undi popular yang lebih besar, iaitu lebih 51 peratus berbanding undi popular BN.

Dakwaan sedemikian ada benarnya, tetapi disebabkan amalan politik di Malaysia berasaskan penguasaan kerusi, maka parti yang memperoleh jumlah kerusi majoriti itulah yang berkuasa.

BN terus berkuasa walaupun menguasai 133 kerusi (PRU 12 menang 140 kerusi) daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat manakala pakatan pembangkang berupaya menguasai 89 kerusi, meningkat tujuh kerusi berbanding 81 kerusi dalam PRU 12.

Setelah gagal menggelorakan penguasaan BN menerusi undi popular, pakatan pembangkang terus membuat beberapa kenyataan untuk membolehkan keyakinan rakyat terhadap UMNO goyah, dan akhirnya, media ikut terpengaruh dengan jerangkap samar politik yang dipasangkan.

Media arus perdana yang dianggap pro-UMNO tanpa sekatan lagi memberikan ruang untuk membelasah bekas pemimpin UMNO apabila menyiarkan laporan Anwar Ibrahim terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Kemelut inilah yang akhirnya dilihat sebagai jerangkap samar untuk melumpuhkan UMNO di mana pihak-pihak yang rasa kecil hati dengan kepimpinan Najib bersedia menjadi antagonis terhadap partinya sendiri.

Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir, belum boleh dianggap sebagai serangan untuk menjatuhkan kepimpinan Najib, ia hanya sekadar nasihat, yang tentunya, terpulanglah kepada Najib untuk menerima dan memakai nasihat itu. Bahkan, Dr Mahathir sendiri pernah berkata, nasihat bukan bererti arahan.

Sebab itu ada ketikanya, Dr Mahathir juga tidak mengambil nasihat yang diberikan kepadanya sewaktu beliau memerintah, termasuklah nasihat beberapa pihak agar tidak berusaha menyelar kuasa budi bicara Raja-Raja Melayu hanya kerana mahukan sesuatu pindaan undang-undang ditandatangi dengan cepat semasa krisis pindaan Perlembagaan 1980-an.

Sayangnya, ketika perbezaan pendapat berlaku tidak muncul para ulama (Mufti-Mufti) untuk berusaha menjernihkan suasana sedangkan menurut pemikiran politik Al-Ghazali, ulama hendaklah sentiasa menasihati pada umara agar menjaga tindakan dan mengkritik secara terbuka.

Menerusi politik budiman, seseorang ulama hendaklah sentiasa mencari jalan untuk menyampaikan pesanan dan nasihat, sekiranya melihat pada umara sudah tersasar daripada “track” sebagaimana Dr Mahathir melihat ia adalah kelemahan Najib yang boleh menjejaskan peluang BN dalam PRU ke-14.

Kalau dilihat daripada perspektif semasa, pakatan pembangkang semakin bercelaru kerana berlakunya perpecahan dari dalam dan antara parti atas masalah ideologi, ia tidak sepatutnya ikut meresap masuk ke dalam UMNO selepas menunjukkan petunjuk positif dalam PRU 13.

Pembangkang sedar, sekiranya UMNO berada dalam kedudukan yang kuat, peluangnya untuk menang adalah sukar. Sebab itulah, pembangkang akan terus melontarkan provokasi untuk menjerat UMNO dan bekas pemimpinnya supaya terkena jerangkap samar.

Apabila pemimpin UMNO terkena jerangkap samar, maka lebih mudahlah pakatan pembangkang menutupi perpecahan yang sedang mereka hadapi dan lebih mudah diterima oleh pengundi walaupun apa yang dilontarkan itu berupa retorik ataupun ilusi.

Dan, di sinilah sepatutnya para ulama memainkan peranan, peranan sebagai pendamai dan penasihat agar kekuatan Melayu-Islam tidak mudah pecah dari dalam.

Penulis kini bertugas sebagai Setiausaha Analisa Dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).