KERAP berfikir secara melampau (overthinking) adalah satu tanda gangguan psikologi yang dialami ramai.

Ada ketika, ia membantu kita untuk menimbang tara sesuatu perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan hal, sikap ini sebenarnya ‘tidak sihat’ dan boleh menggugat kewarasan emosi seseorang.

Apabila ia mengatasi logik akal, secara tidak langsung ia akan memberi kesan terhadap tindak-tanduk, persepsi dan semangat individu tersebut.

Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

Ikuti tujuh solusi yang disarankan ini:-

1) Bersukan

Sekiranya sebelum ini anda bukan seorang yang aktif bersukan, maka inilah masanya untuk mengubah gaya hidup.

Menjalankan aktiviti berorientasikan kecergasan fizikal berupaya menyalurkan caj-caj positif dalam diri anda. Joging, berbasikal atau berenang sahaja cukup untuk meredakan serabut fikiran anda.

2) Padatkan jadual

Potensi untuk anda berfikir secara berlebihan akan lebih tinggi sekiranya jadual harian anda mempunyai banyak kelapangan.

Justeru, bagi mengelakkan anda berfikir yang bukan-bukan, isi setiap masa dengan aktiviti yang mampu mengalihkan tumpuan anda.

Jika di rumah, anda mungkin boleh mencuba resipi baharu, mengemas atau berkebun.

3) Hobi baharu

Antara alternatif berkesan bagi merawat tekanan akibat overthinking termasuklah menambah hobi baharu.

Kembangkan minat anda terhadap sesuatu perkara agar ia dapat mengalih konsentrasi ke arah hal-hal positif.

Cuba fikir kembali, apakah keinginan anda yang belum dipelajari? Siapa tahu dalam tempoh ini anda berjaya belajar bermain piano, menjahit dan menari?

Sesuaikan hobi mengikut kecenderungan peribadi anda.

4) Menulis

Anda tidak perlu menjadi individu yang pintar berkarya untuk meluahkan perasaan di atas kertas.

Tulislah apa sahaja perkara yang bersarang di dalam fikiran anda dan lihat kesannya dalam membantu menyembuhkan emosi anda. Kadang-kadang ada perkara tidak perlu dikongsi dengan orang lain, jadi menulis dapat menenangkan jiwa anda.

Format penulisan terpulang kepada anda sama ada luahan perasaan seperti diari peribadi, cerpen atau puisi.

5) Jangan jadi hamba laman sosial

Media sosial hari ini banyak mempengaruhi hidup manusia khususnya orang muda. Maka tidak mustahillah banyak permulaan overthinking berpunca daripada laman sosial.

Perkongsian gambar di Instagram, tweet menerusi Twitter dan status yang dimuat naik di Facebook mula menjadi elemen penting terhadap perspektif seseorang.

Sekiranya laman sosial sering menjadikan fikiran anda kacau-bilau, adalah lebih baik untuk menghentikan sementara komunikasi anda dengan medium-medium moden atau media baharu tersebut.

Tidak semua gambar, tweet atau status yang dimuat naik seseorang itu merujuk kepada kita. Berhentilah menjadi paranoid dek perkongsian laman sosial yang tidak jelas kesahihan pengertiannya.

Jika laman sosial sering menjadikan fikiran anda kacau-bilau, lebih baik hentikan sementara komunikasi anda dengan media baharu tersebut, jangan jadi "hamba laman sosial". - Foto arkib TRP
Jika laman sosial sering menjadikan fikiran anda kacau-bilau, lebih baik hentikan sementara komunikasi anda dengan media baharu tersebut, jangan jadi “hamba laman sosial”. – Foto arkib TRP

6) Tarik nafas

Bernafas dengan teknik yang betul dapat membendung masalah overthinking.

Caranya mudah. Anda hanya perlu berbaring, tarik nafas dalam-dalam menggunakan hidung dengan kiraan dua saat. Bebaskan nafas menerusi mulut dalam kiraan empat saat.

Ulangi langkah di atas selama 10 minit ataupun sehingga ia dapat mendamaikan fikiran dan perasaan anda.

7) Tidur

Penyelesai ini paling kerap digunakan ramai orang.

Bagi sesetengah individu, tidur dapat meredakan kekacauan emosi dan fikiran.

Namun, adakalanya anda akan mengalami masalah untuk melapangkan minda sebelum berjaya melelapkan mata.

Jadi, sebelum tidur, minumlah segelas air kosong, tarik nafas dalam-dalam dan isi fikiran dengan perkara-perkara lain bagi sebagai pengalih fokus.

P/S – Selain itu anda juga boleh mencuba sembilan cara mudah untuk berhenti berfikir keterlaluan dengan merujuk artikel “How to Stop Overthinking Everything: 9 Simple Habits” di pautan berikut:-

http://www.positivityblog.com/index.php/2013/11/20/how-to-stop-overthinking/

MOHD ALIF ABU BAKAR atau ‘Acip Alif’ adalah produk Sains Komunikasi, UiTM yang berkhidmat di sebuah akhbar tabloid arus perdana – masing-masing tiga tahun di meja berita dan meja rencana – sebelum menjadi penulis bebas.