PERSIDANGAN Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang ke-45, yang baru sahaja selesai di Davos, Switzerland, telah memberi gambaran terkini bahawa tahun 2015 adalah tahun di mana ekonomi dunia akan, samada berkembang atau sebaliknya; atau lebih mudah diertikatakan dalam Bahasa Inggeris, sebagai tahun ‘make it or break it’, sebelum unjuran untuk tahun-tahun berikutnya dapat dikenalpasti.

Dalam ucapan di forum tersebut, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, berkata pada tahun ini, penggubah-penggubah polisi di dunia perlu membuat pilihan yang betul apabila bersemuka dengan tiga perkara asas yang sedang dilalui oleh ekonomi dunia – pertamanya, berusaha keras ke arah pertumbuhan ekonomi atau berdepan dengan genangan; keduanya, bekerja ke arah kestabilan serantau atau berdepan dengan pergolakan; dan terakhir, teguh bekerjasama atau berdepan dengan perubahan ekonomi secara bersendirian.

Christine seterusnya berkata, walaupun tujuh tahun berlalu setelah krisis kewangan melanda Amerika Syarikat pada 2008, kesannya pada ekonomi dunia masih terasa. Contohnya, terdapat lebih 200 juta orang yang tidak mempunyai pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi dunia selepas krisis tersebut ala ‘biasa-biasa’ sahaja.

Oleh itu, untuk terus melihat pertumbuhan ekonomi dunia dan mengelakkan genangan, Pengarah Urusan IMF tersebut mencadangkan agar momentum pambaharuan polisi haruslah diteruskan. Jika langkah-langkah yang dibahaskan semasa Persidangan Pemimpin-Pemimpin G20 pada November lepas dimanfaatkan, kata Christine, ini mungkin akan memangkinkan pertumbuhan Keluaran Dalaman Negara Kasar (GDP) dunia sebanyak dua peratus, yang mana akan menyaksikan pertumbuhan pendapatan dunia sebanyak US$2 trilion.

Pertumbuhan pendapatan ini akan membolehkan lebih 100 juta pekerjaan untuk wanita sahaja diwujudkan, dan mengurangkan jurang perbezaan pekerjaan antara lelaki dan wanita sebanyak 25 peratus, katanya lagi.

Antara langkah-langkah pembaharuan polisi yang dimaksudkan ialah promosi pertumbuhan dan pengwujudan pekerjaan, termasuklah latihan kemahiran, kemudahan penjagaan anak-anak sewaktu bekerja dan fleksibiliti tempat pekerjaan – seperti bekerja dari rumah.

Dalam konteks kestabilan serantau pula, Christine berkata, integrasi ekonomi dunia telah banyak berubah sejak Perang Dunia ke-2, dimana apabila sesebuah negara mengalami krisis kewangan, kesannya bukan sahaja terasa dinegara tersebut, tetapi boleh menular ke negara-negara serantau, bahkan ke seluruh dunia.

Dari itu, beliau menitikberatkan keperluan untuk terus membuat pembaharuan dalam peraturan perbankan dan institusi kewangan, lebih-lebih lagi dalam urusan ketelusan dan kualiti pengawasan sistem kewangan.

Perubahan budaya dalam sistem kewangan juga satu pembaharuan yang amat diperlukan, di mana keyakinan dan kepercayaan yang utuh terhadap sistem tersebut perlu disemai semula di kalangan penggiat-penggiat industri.

Namun, apa yang lebih kritikal ketika ini, kata Christine, ialah keteguhan kerjasama dalam menangani perubahan ekonomi dunia, kerana tiada sesebuah ekonomi negara sekarang ini yang boleh berfungsi secara bersendirian dan berkecuali.

Lima puluh tahun kebelakangan ini, kesinambungan dan perpaduan ekonomi dunia secara berkumpulan menjadi lebih terserlah – contohnya, ekonomi negara-negara membangun yang dahulunya membentuk 25 peratus daripada GDP dunia, telah tumbuh sebanyak 50 peratus ketika ini, dan diunjurkan akan terus berkembang maju dan mempengaruhi ekonomi dunia.

Bercakap tentang ekonomi negara-negara berkumpulan, tahun ini Malaysia bertanggungjawab, sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), yang merangkumi sejumlah 600 juta penduduk dibawah satu payung ekonomi ala Kesatuan Eropah (EU), selewat-lewatnya pada penghujung 2015.

Di Forum di Davos, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed juga meyakinkan semula wakil-wakil yang hadir bahawa objektif penubuhan AEC akan tetap tercapai, walaupun perjalanan lancar pekerja-pekerja mahir dan penghapusan tarif yang divisikan di bawah AEC hanya mungkin akan tercapai lima tahun lagi pada 2020.

Ini jelas menggambarkan betapa besarnya harapan yang diletakkan di atas bahu kepimpinan Malaysia untuk membantu menggerakkan ekonomi serantau, yang mungkin juga akan memangkinkan pertumbuhan ekonomi dunia secara amnya.

Apakah langkah-langkah yang akan diambil Malaysia untuk merealisasikan impian AEC ini?

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan penyusutan nilai mata wang ringgit, serta kos baik-pulih kesan musibah banjir yang mungkin menggunung, apakah langkah-langkah yang perlu kita perbaiki untuk mencapai impian AEC?

Bulan Januari hampir berakhir, hanya tinggal 11 bulan lagi untuk membentuk komuniti AEC yang teguh. Sama-samalah kita lihat kemajuan yang bakal menanti… wallahualam.

Penulis adalah seorang wartawan bebas dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi dengan media tempatan dan serantau sejak tahun 2000. Sebelum itu, penulis pernah bekerja di beberapa syarikat industri kewangan. Tulisan diatas adalah pendapat, pandangan & hasil kaji-selidik penulis.