TAHUN baru 2015 baru sahaja masuk minggu kedua, dan dalam hanya 12 hari yang baru berlalu ini, di persada antarabangsa, kita telah digemparkan dengan berita serangan selama tiga hari dan pembunuhan 17 pekerja majalah satira Charlie Hebdo di Paris.

Banyak pihak, baik dari media massa mahupun media sosial, telah mengambil kesempatan untuk berkongsi pendapat dan pandangan mereka tentang kejadian yang tragis ini.

Laporan berita media massa Barat dengan pantasnya melabel dan mengaitkan pembunuhan tersebut dengan puak pelampau dan radikal Islam, dan di sebelah pihak yang lain pula, menyalahkan kartunis majalah tersebut yang melampaui batas apabila menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk memperolokkan junjungan besar umat Islam sejagat, Nabi Muhammad SAW.

Yang pastinya, kesemua pihak – tidak mengira bangsa mahupun latar belakang agama – mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Namun, dapat dilihat bagaimana kesan daripada kekejaman ini, beratus ribu rakyat Perancis dan penduduk Eropah yang bersempadan dengan negara itu, bersama-sama pemimpin negara yang lain, berarak di dalam Perarakan Perpaduan yang diadakan Ahad lalu.

Ia antara perarakan terbesar yang pernah dianjurkan, melibatkan kira-kira 3.5 juta orang di mana 1.6 juta daripadanya adalah penduduk Paris.

Antara pemimpin dunia yang kelihatan berarak bersama adalah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas – ketua negara-negara yang masih bergolak di Timur Tengah. Mungkinkah suatu hari nanti mereka berdua juga akan bersatu hati, mencapai kata sepakat untuk menghentikan peperangan yang tidak berkesudahan sejak tujuh dekad yang lalu?

Alhamdulillah, negara kita Malaysia masih aman, dan harapan manusia sejagat semoga seluruh dunia juga akan beransur aman, disusuli dengan perkembangan positif ekonomi.

Bercakap tentang ekonomi, ruangan EkoNiaga minggu ini beralih untuk melihat perkembangan ekonomi serantau setelah mengupas serba-sedikit ekonomi Malaysia minggu lepas.

Menurut laporan Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), ekonomi semua negara di bawah payung Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) diunjur akan berkembang sihat pada 2015, malah bukan sahaja pada 2015 tetapi termasuk juga tahun-tahun mendatang sehingga 2019.

Secara puratanya, ekonomi sepuluh negara anggota ASEAN dijangka akan berkembang sebanyak 5.6 peratus – hanya 0.1 peratus lebih tinggi daripada ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Ekonomi Indonesia dan Filipina diramalkan masing-masing tumbuh sebanyak 6.0 dan 6.2 peratus, sementara ekonomi Kemboja, Laos dan Myanmar akan bergerak lebih pantas pada 7.0 peratus.

Ekonomi Singapura dan Brunei Darussalam pula akan terus stabil, sementara Malaysia, Thailand dan Vietnam akan mengekalkan momentum pertumbuhan sedia ada.

Namun demikian, kata OECD, pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN akan terus dipengaruhi oleh risiko dalaman dan luaran, kesinambungan program transformasi serta pengukuhan kapasiti kritikal institusi-institusi, yang secara keseluruhannya akan terserlah dalam kerjasama serantau.

Menyebut kerjasama serantau, tentunya pertumbuhan ekonomi negara jiran tetangga di sekeliling yang sihat begini akan membawa pembangunan yang positif kepada Malaysia, yang menjadi negara Pengerusi ASEAN tahun ini.

Kebetulan pula, antara agenda utama Malaysia sebagai pengerusi ialah menjayakan matlamat untuk mengintegrasi ekonomi serantau, yang menggariskan pembentukan “Komuniti Ekonomi ASEAN” (AEC) sebelum 31 Disember tahun ini.

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, ekonomi negara bertuah ini dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi serantau.

Bahkan, ketika zaman itu, negara ini terkenal sebagai pusat perdagangan serantau dan antarabangsa, sehingga ke Timur Jauh (China) dan Barat (Eropah).

Malaysia juga pernah digelar sebagai Harimau Asia Tenggara pada pertengahan 1990-an kerana pertumbuhan ekonominya yang amat memberangsangkan.

Apakah mungkin, tatkala abad ke-21 yang dikenali sebagai “Abad Asia” ini, ekonomi Malaysia akan bangkit semula, lebih-lebih lagi dalam mencapai impian muncul dalam kelompok Negara Maju pada tahun 2020… wallahualam.

Penulis adalah wartawan bebas yang berpengalaman bertugas di Meja Korporat/Perniagaan/Ekonomi media tempatan serta serantau sejak tahun 2000, dan sebelum itu, berkhidmat di beberapa syarikat dalam industri kewangan. Tulisan di atas adalah pendapat, pandangan dan hasil kaji selidik penulis.