BANJIR besar yang sedang melanda negara sekarang nyata memberi kesan besar kepada semua mangsanya.

Selain daripada trauma akibat bencana tersebut, mereka juga terpaksa menanggung kerugian harta benda.

Selain daripada kediaman yang kelihatan seperti dilanda tsunami, satu lagi aset penting yang rosak ialah kenderaan sama ada kereta mahupun motoosikal.

Saya bercakap tentang kereta yang sudah menjadi kapal selam, bukannya air banjir yang sekadar mencecah separuh tayar. Ini sememangnya mimpi ngeri untuk sesiapa sahaja.

Sedia maklum bahawa air banjir dan lumpur boleh menyebabkan kerosakan yang serius, terutama kepada sistem elektronik, bahagian dalaman, luaran serta mekanikal kenderaan kalau tidak dikendalikan dengan sewajarnya.

Apa yang pasti, kos untuk membaikinya pun tidaklah murah. Silap-silap, ia boleh sahaja membuatkan bajet untuk bulan itu lari. Jadi, apa pilihan yang kita ada?

Walaupun sedih melihat kereta jadi begitu, namun jangan terlalu bimbang kerana ia sebenarnya masih boleh diselamatkan. Lebih-lebih lagi kalau anda tidak cuba menghidupkannya ketika ia berada di dalam air. Phew.. lega dan nampaknya masih ada harapan…

Selepas banjir surut, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah tunda kenderaan anda ke pusat servis sah berhampiran dengan segera. Biar pakar yang buat kerja mereka. Jangan buat-buat pandai kerana kalau silap gaya, masalah kecil boleh jadi besar.

Bagi mereka membeli pakej insurans yang komprehensif, kos pembaikan akibat banjir biasanya sudah boleh dianggap selesai kerana ia bakal ditanggung syarikat insurans.

Sekiranya kerosakan yang dialami terlalu teruk dan mahal untuk dibaiki, tidak mustahil syarikat insurans mengkategorikannya sebagai total lost dan anda akan menerima bayaran pampasan. Boleh lah beli kereta baharu.

Jadi, bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir, sila pastikan anda membeli pakej insurans yang melindungi kenderaan daripada insiden-insiden seperti ini.

Kalau terlupa atau buat-buat lupa untuk membeli insurans begitu, jangan risau, kebanyakan pengeluar kereta kini ada menawarkan pakej diskaun untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

Memang agak sukar untuk menelah jumlah kos pembaikan yang perlu dikeluarkan kerana ia bergantung kepada kondisi kenderaan ketika dibawa ke pusat servis.

Baiklah. Sampai sahaja ke bengkel, mekanik akan menilai tahap kerosakan sebelum melakukan major service atau penyenggaraan menyeluruh. Biasanya, mereka akan mengeluarkan semua bendalir di dalam enjin, kotak gear, brek, tangki minyak dan sebagainya.

Semua komponen itu kemudian dibiarkan kering sebelum minyak-minyak tersebut diisi semula. Peralatan-peralatan yang rosak seperti palam pencucuh, penapis minyak dan udara akan ditukar. Oh ya, semua komponen elektrikal juga akan dibuka untuk dikeringkan.

Menyentuh tentang bahagian kabin pula, peralatan kerusi, karpet dan kemasan dalaman perlu dikeluarkan untuk dibasuh serta dikeringkan. Ini penting bagi memastikan kenderaan tidak berbau dan tidak mengalami masalah karat di kemudian hari.

Selepas kering selama beberapa hari, semua ini akan dipasang semula dan kereta boleh digunakan seperti biasa.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa kenderaan mungkin berdepan masalah pada masa depan terutama yang berkaitan dengan komponen elektrikal (misalnya penyambung wayar), namun ia bergantung kepada nasib dan kualiti kerja mekanik yang mengendalikan kereta anda.

Menurut seorang rakan yang bekerja di sebuah pusat servis di Kuala Lumpur, biasanya kereta yang diselenggara dengan baik jarang menimbulkan masalah.

Selepas siap dibaiki, bagaimana pula kalau hendak dijual kepada orang lain atau syarikat kereta terpakai? Adakah mereka mahu membelinya?

Itu bergantung kepada tahap kejujuran anda. Jika mereka tahu kereta itu pernah tenggelam dalam banjir, kemungkinan harga ditekan rendah adalah cukup tinggi. Mungkin kita rugi sedikit, tetapi kejujuran itu pasti dibalas dengan perkara baik yang lain pada masa depan. Dalam dunia ini, tiada siapa yang suka ditipu dan membeli kereta bermasalah.

OK, itu bagi kereta yang sudah tenggelam. Buat mereka yang tinggal di kawasan yang bakal dilanda banjir seperti Pahang, Perak dan Johor, mencegah sentiasa lebih baik daripada mengubati.

Dengan pengguna media sosial yang tidak henti-henti membuat laporan secara percuma (dan tidak peduli tentang kesahihan sesuatu berita), tidak sukar untuk kita mengetahui keadaan semasa banjir. Jadi, ambil langkah lebih awal.

Cara paling bagus dan mudah ialah parkir kereta anda di tempat yang tinggi serta terjamin keselamatannya. Jika tiada lokasi yang sesuai, ada beberapa perkara yang boleh anda buat untuk mengurangkan risiko kerosakan kenderaan jika tenggelam di dalam air.

Misalnya, cabut aliran negatif terminal bateri untuk menghentikan aliran elektrik di dalam kereta. Kemudian kunci dan keluarkan semua barangan berharga daripada kenderaan.

Kalau ada atau sempat beli pembungkus plastik kereta macam yang kita pernah tengok dalam gambar banjir di Thailand itu lagi bagus. Err… mungkin boleh mula fikir untuk buat bisnes jual plastik kereta macam ini sebagai persediaan banjir tahun depan.