NEW DELHI, 21 Februari:

Lapan keluarga Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dilaporkan selamat ketika rusuhan di negeri Haryana, India, semakin buruk dalam tempoh 24 jam lepas, dengan jumlah kematian meningkat kepada sembilan dan lebih 100 orang cedera.

Seorang pegawai berkata nasihat telah dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berada di bandar Gurgoun kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan dari sini supaya mengelak daripada pergi ke kawasan yang dilanda rusuhan.

“Kami memantau keadaan dengan rapi dan satu laporan telah dikemukakan kepada Wisma Putra,” kata pegawai itu apabila dihubungi hari ini.

Para pegawai Kementerian Dalam Negeri India dan polis di Haryana mengesahka bahawa lebih 3,000 anggota separa tentera diangkut dengan pesawat petang semalam ke kawasan terjejas setelah para penunjuk perasaan menghadang lebuh raya utama serta laluan kereta api.

Perintah berkurung dikenakan di lima daerah utama di negeri itu iaitu di Sonipat, Rohtak, Bhiwani, Jhajjar dan Rohtak.

Tunjuk perasaan yang memasuki hari kesembilan hari ini, boleh dikatakan memutuskan hubungan antara negeri yang mempunyai 26.4 juta penduduk ini dengan wilayah lain di India.

Internet terus digantung dan pihak berkuasa memberi arahan kepada pasukan keselamatan supaya menembak mereka yang melanggar perintah berkurung.

Dalma pada itu, Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam perarakan protes oleh Komuniti Jat di Haryana, Utara India semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan terus memantau situasi berkenaan dari semasa ke semasa.

“Kementerian Luar juga menasihati semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan,” menurut Wisma Putra.

Protes yang disebabkan isu kuota dalam perkhidmatan awam dan institusi pendidikan itu telah mengakibatkan lima kematian dan 78 kecederaan.

Ekoran itu, kerajaan negeri berkenaan mengeluarkan perintah berkurung bagi lima bandar iaitu Sonipat, Gohana, Rohtak, Bhiwani dan Jhajjar.

Menurut Wisma Putra, protes terbabit turut merebak ke New Delhi dan Gurgaon, sebuah kawasan yang terletak dalam lingkungan 30 kilometer dari New Delhi.