VATICAN CITY, 20 Februari:

Pemimpin Vatican, Pope Francis semalam menyifatkan hartawan, Donald Trump yang bertanding dalam sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi Parti Republikan, bukan penganut agama itu apabila beliau berikrar untuk membina tembok pemisah bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

AFP melaporkan Pope Francis berkata, sesiapa sahaja yang mahu membina tembok pemisah dan bukan jambatan, tidak layak mengaku dirinya beragama Kristian.

“Undi atau tidak, saya tidak campur perkara itu. Namun saya hanya menyatakan, jika dia (Trump) berkata demikian, dia bukan penganut Kristian,’’ katanya.

Pope Francis berkata demikian sebagai menjawab soalan tentang pendirian Trump berhubung kedatangan pendatang tanpa izin ke AS.

Walaupun layak untuk bertanding ke peringkat seterusnya dalam pemilihan tersebut, kenyataan Pope Francis menimbulkan kemarahan Trump.

Trump berkata, tindakan seorang pemimpin agama yang mempersoalkan agama seseorang sangat memalukan.

“Saya berbangga sebagai seorang penganut Kristian dan sebagai Presiden kelak, saya tidak akan benarkan Kristian diserang dan dilemahkan,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di South Carolina.

Trump meraih populariti dengan mendakwa Mexico menghantar penjenayah ke AS.

Pada minggu lepas, beliau menuduh Pope Francis melawat sempadan antara kedua-dua negara terbabit atas permintaan kerajaan Mexico.

Trump dalam kenyataannya turut memperlekehkan Pope Francis.

“Pope Francis pasti akan berdoa supaya saya menjadi Presiden jika Vatican diserang oleh kumpulan militan IS,’’ kata hartawan itu.

Hartawan tersebut pada Ogos dan November tahun lalu berikrar untuk membina sebuah tembok di sempadan AS bagi menghalang pendatang daripada memasuki AS secara haram, ikrar yang mencetuskan kontroversi ketika itu