LONDON, 29 Januari:

Polis Britain menahan seorang suspek dengan 38 telefon bimbit disumbat dalam seluar panjangnya.

Polis West Midlands percaya lelaki terbabit mencuri telefon bimbit milik penonton di konsert kumpulan The Libertines di Birmingham, tengah England.

Suspek berusia 30 tahun itu bersama seorang lagi lelaki yang turut ditahan, dikesan berada di lokasi berkenaan dengan seluar mereka ditutup pita pelekat di bahagian bawahnya.

Polis mula menjalankan siasatan, susulan beberapa laporan kecurian telefon bimbit ketika konsert kumpulan The Libertines diadakan di Manchester, barat laut England.

Inspektor polis, Gareth Morris menggesa penonton yang kehilangan telefon bimbit ketika menyaksikan konsert pada Rabu lalu itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.