BANGKOK, 25 Januari:

Empat pegawai Malaysia dipercayai daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tiba di Nakhon Si Thammarat, hari ini, untuk memeriksa serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat yang ditemui di pantai selatan Thailand itu.

Ketua Polis Daerah Pak Phanang, Thanyapat Pattikongsan yang mengesahkan perkara itu berkata, keempat-empat pegawai itu tiba di lokasi serpihan itu ditemui pada jam 10 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) dan beredar kira-kira sejam kemudian.

“Mereka (pegawai dari Malaysia) meluangkan kira-kira sejam di kawasan itu, memeriksa serpihan dan mengumpul bukti, sebelum meninggalkan tempat itu.

“Pegawai berkenaan tidak memberi butiran mengenai tugas mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, keempat-empat pegawai itu yang berlepas dari Kuala Lumpur, tiba di Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat, pagi tadi.

Semalam, penduduk tempatan yang tinggal di kawasan pantai di wilayah selatan Thailand itu melaporkan penemuan objek logam besar berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang yang dipercayai daripada bangkai kapal terbang.

Penemuan serpihan itu menimbulkan spekulasi di kalangan media yang mengaitkannya dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Pesawat itu membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman menghubungi pihak berkuasa Thailand tentang penemuan objek itu.

Sementara itu, di pantai Pa Thya, Pak Phanang, hari ini, lokasi penemuan objek yang dipercayai serpihan kapal terbang berkenaan, usaha media tempatan menemu bual keempat-empat pegawai Malaysia itu gagal.

Mereka juga enggan mendedahkan identiti kepada media tempatan.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka hanya mengesahkan segala maklumat dan bukti yang dikumpulkan hari ini akan dianalisis lebih lanjut oleh pasukan pakar di Kuala Lumpur.

Tugasan memeriksa objek dan mengumpul bukti di pantai Pa Thya itu turut dibantu pegawai DCA Thailand serta pasukan keselamatan negara itu.

Menurut DCA Thailand, serpihan itu akan dibawa ke Bangkok, hari ini, untuk dianalisis pakar.

Timbalan Pengarahnya, Amphawan Wannako memberitahu, mereka turut membincangkan kemungkinan menghantar gambar serpihan itu kepada syarikat Boeing atau Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), Amerika Syarikat untuk penjelasan lanjut.

“Kami akan bincangkan kemungkinan ini,” katanya.