BANGKOK, 24 Januari:

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Thailand akan menghantar dua pakar ke Nakhon Si Thammarat, esok, untuk menganalisis lebih lanjut serpihan disyaki daripada bangkai pesawat yang dijumpai di selatan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Amphawan Wannako berkata, jabatan itu dengan bantuan pegawai Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) juga akan menerbangkan
serpihan tersebut ke ibu negara, esok.

“Selain kedua-dua pakar kami yang akan berada di Nakhon Si Thammarat esok, kami juga akan dibantu pakar-pakar RTAF bagi pemeriksaan dan mengangkut serpihan ke Bangkok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, proses mengangkut serpihan disyaki milik sebuah pesawat itu, berkemungkinan besar akan dilakukan pesawat Hercules C-130 milik RTAF.

Semalam, penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pantai di selatan Thailand itu, melaporkan penemuan objek logam besar yang berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang, dipercayai milik sebuah pesawat.

Penemuan serpihan tersebut kemudiannya mendorong media negara gajah putih itu membuat spekulasi, serpihan yang dipercayai daripada bangkai pesawat itu mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang ketika membawa 239 penumpang dan kru dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, belum ada pengesahan bahawa serpihan yang dijumpai di selatan Thailand itu adalah milik MH370.

Bagaimanapun, beliau telah meminta Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman untuk menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan.

Sementara itu, Amphawan berkata, selepas melihat gambar serpihan yang dijumpai di selatan Thailand itu, beliau tidak dapat menentukan sama ada serpihan tersebut sebenarnya milik pesawat awam atau tentera.

“Pakar-pakar perlu memeriksa dengan teliti objek itu sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Sementara itu, pegawai polis daerah Pak Phanang, Sub Leftenan It Paijit Pongkaew memberitahu Bernama, tiga pegawai RTAF dari pangkalan di selatan Thailand telah memeriksa serpihan tersebut, tetapi tidak mendedahkan sebarang maklumat.

“Mereka tidak memberitahu apa-apa tentang serpihan itu,” katanya.